Kupasan dakwah Imam Syafi’i

Kupasan dakwah Imam Syafi’i

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Untuk mengetengahkan lagi pemahaman mahasiswa/mahasiswi terhadap Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam telah menganjurkan Ceramah Umum dengan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Ceramah telah disampaikan oleh profesor jemputan iaitu Profesor Al-Balaghah, Sastera Kritikan dan Sastera, Kulliyyah Darul ‘Ulum, Universiti Al-Fayyoum, Profesor Dr. Kamal Abdel Aziz Ibrahim.

Dengan tajuk ‘Syair Imam Syafi’i: Pandangan Analisis Kritikal’, beliau telah menyentuh latar belakang kehidupan Imam Syafi’i sehingga menjadi seorang ulama’ dan juga menjadi penyair.

Menurut beliau, banyak syair-syair yang dikarang oleh Imam Syafi’i adalah berbentuk dakwah dan juga nasihat, dan antaranya ialah syair agar bersifat zuhud, bersifat tawadhu dan sentiasa bertawakal kepada Allah.

Antara yang menghadiri ceramah anjuran Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam itu.
Antara yang menghadiri ceramah anjuran Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam itu.

Menurut kenyataan UNISSA, antara tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti akademik dengan Bahasa Arab serta memupuk semangat untuk menerokai ilmu Bahasa Arab.

Dengan aktiviti ini juga, para pelajar dapat menguasai bidang Bahasa Arab dengan baik dan dapat pula memberikan motivasi untuk mencontohi kehebatan yang dimiliki oleh Imam Syafi’i dalam bidang penulisan syair.

Seramai 50 orang menghadiri ceramah umum berkenaan yang terdiri daripada para tenaga akademik UNISSA, pelajar lepasan ijazah dan pelajar Tahun 1 Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam.

ARTIKEL YANG SAMA