KUPU SB adakan retreat rancangan strategik kedua

KUPU SB adakan retreat rancangan strategik kedua

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Bagi menyediakan panduan dan hala tuju strategi, sepasukan pengurus dan pentadbir Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Retreat Rancangan Strategik KUPU SB 2015-2019 di Dewan Ta’lim bermula hari ini hingga 9 Disember.

Hadir merasmikan sesi retreat yang disertai oleh 29 orang berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Turut hadir ialah para pegawai pengurusan utama, dekan, pengarah, timbalan pengarah, timbalan dekan, ketua bahagian dan unit serta para penolong pendaftar KUPU SB.

Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar berkata, retreat ini diadakan buat kali kedua, selepas kali pertama pada tahun 2009 yang telah menghasilkan rancangan strategik yang mantap selepas tempoh perancangannya berakhir pada tahun 2014 dan tahun ini disambung lagi untuk penyambungan kerja yang lebih mantap sehingga 2019.

Sesi bergambar ramai sebelum memulakan retreat.
Sesi bergambar ramai sebelum memulakan retreat.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan majlis pembukaan retreat.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan majlis pembukaan retreat.

“Retreat ini diadakan bagi menyediakan kaedah bagaimana membuat satu retreat yang lebih mantap dan berkesan untuk menilai semula sejauh mana pencapaian KUPU SB dalam mengendalikan ataupun mengusahakan rancangan selama empat tahun yang lepas serta menilai semula sejauh mana keberkesanan falsafah KUPU SB dari segi visi dan misi, matlamat dan nilai-nilai utama,” ujar beliau.

Menurut beliau, retreat kali ini menjemput seorang pakar dalam bidang kepimpinan dan pengurusan, Profesor Dr. Omar Abdul Kareem yang mempunyai berpengalaman besar mengendalikan bengkel penyediaan rancangan strategik bagi institut pengajian tinggi khususnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Apa yang sama-sama kita harapkan dari retreat ini ialah penumpuan kepada perancangan yang jitu, realistik, bermanfaat, berhikmah, berkesan dan dapat mengangkat KUPU SB menjadi sebuah universiti yang berkesan dalam pembangunan dan kemajuan negara khususnya perkembangan dan penghayatan ajaran-ajaran Islam melalui pendidikan,” kata beliau lagi.

Beliau menambah, perancangan strategik itu mestilah selari dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara dengan pengalaman Negara Zikir berasaskan Falsafah Melayu Islam Beraja.

“Rancangan Strategik KUPU SB perlu selaras dengan Wawasan Negara 2035, di mana Negara Brunei Darussalam diharap akan menjadi salah sebuah negara maju hasil daripada penduduknya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi sebagai model insan pembangunan negara.”

Rancangan strategik KUPUSB, tambahnya lagi, mestilah selaras dengan rancangan strategik KHEU khususnya dalam mencapai pendidikan agama yang berkesan, yang menurutnya, sukar dicapai kecuali elemen utamanya iaitu guru-guru agama adalah pendidik yang berkesan dengan sahsiah berjati diri MIB.

ARTIKEL YANG SAMA