KUPU SB akan anjur seminar antarabangsa

KUPU SB akan anjur seminar antarabangsa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin akan mengadakan Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin 2016 sempena Majlis Konvokesyen ke-5 KUPU SB pada 10 Februari ini.

Seminar dua hari bertemakan ‘Pendidikan Usuluddin Nadi Kesejahteraan Ummah’ itu akan berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB bermula pukul 8:30 pagi hingga 4:30 petang.

Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dayang Tiara binti Haji Basman, selaku timbalan pengerusi seminar menjelaskan mengenainya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Fakulti Usuluddin KUPU SB hari ini, berkata objektif umum seminar adalah untuk mewujudkan kesinambungan dalam penganjuran seminar ilmiah berkaitan dengan pendidikan usuluddin di Brunei Darussalam, khususnya di KUPU SB.

Selain itu, sebagai wadah kerja sama ilmiah dengan institusi pengajian tinggi di Brunei Darussalam dan luar negara dalam bidang penyelidikan dan mewujudkan kerjasama antarabangsa dalam menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan pendidikan usuluddin dalam pembangunan kesejahteraan ummah melalui pendidikan usuluddin.

Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin bercakap di sidang media sempena seminar antarabangsa usuluddin yang akan berlangsung nanti.
Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin bercakap di sidang media sempena seminar antarabangsa usuluddin yang akan berlangsung nanti.

Tambah beliau lagi, objektif khusus seminar pula antaranya membincangkan disiplin ilmu dalam pendidikan usuluddin yang menjadi teras pembangunan kesejahteraan ummah, dan memantapkan jati diri, kredibiliti dan integriti umat Islam menerusi pendidikan usuluddin serta untuk menonjolkan prinsip ilmu dalam pendidikan usuluddin yang dijadikan asas pembentukan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, seminar dua hari berkenaan akan menampilkan pembentangan sebanyak 28 kertas kerja yang didahului dengan satu kertas kerja perdana dan satu kertas utama.

“Kertas kerja perdana akan dibentangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal dengan tajuk ‘Pendidikan Usuluddin Nadi Kesejahteraan Ummah’ dan kertas kerja utama pula dibentangkan oleh Prof Madya Dr Jaffary Awang.

“Kertas-kertas kerja selebihnya pula dibentangkan oleh para pembentang dari KUPU SB, institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara, serta para pembentang lain yang diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja tertakluk kepada keputusan jawatankuasa kertas kerja seminar,” ujar beliau.

Seminar berkenaan akan dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab.

Beliau juga menjelaskan, antara sub tema seminar termasuk membincangkan peranan akidah dalam pembentukan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan bangsa, pendidikan usuluddin nadi pembangunan kesejahteraan ummah, dan isu dan cabaran pendidikan usuluddin terhadap pembangunan kesejahteraan ummah.

Bayaran penyertaan untuk seminar berkenaan ialah $50 untuk pembentang, $20 untuk peserta, $10 untuk peserta pelajar, dan $50 untuk pegawai kerajaan, manakala itu, bayaran peserta luar negara sebanyak AS$100 untuk pembentang, peserta AS$50 dan peserta pelajar sebanyak AS$20.

Dijangka hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan seminar berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

ARTIKEL YANG SAMA