KUPU SB anjur Hari Info Studi

KUPU SB anjur Hari Info Studi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menganjurkan Hari Info Studi untuk para pemohon yang berminat mengikuti kursus di kolej ini yang membuka tirainya hari ini di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB.

Membawa tema ‘KUPU SB Peneraju Pendidikan Keguruan Ugama’, ia diadakan dua hari sehingga esok (27 Februari) bermula jam 8:30 pagi sehingga 11:30 pagi dan 2 petang sehingga 5:30 petang bagi Jumaat dan Sabtu bermula pada 8:30 pagi sehingga 5:30 petang.

Pada acara itu, KUPU SB turut menawarkan program tambahan seperti Sejarah Islam, Ketamadunan Islam dan juga Pendidikan Bahasa Arab.

Menurut Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar semasa ditemui pihak Media Permata menjelaskan, bahawa setiap fakulti dan bahagian yang ada menampilkan program-program yang ditawarkan bagi memberikan pengetahuan umum kepada para pengunjung yang berminat untuk mengikuti kursus di universiti berkenaan.

KUPU SB seperti yang sudah diketahui telah menawarkan beberapa kursus sejak beberapa tahun yang lalu seperti Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah dan Usuluddin serta Sarjana dalam bidang pendidikan Syariah dan Usuluddin, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama.

Dr. Haji Adanan semasa melawat ke petak-petak pameran Hari Info Studi di KUPU SB.
Dr. Haji Adanan semasa melawat ke petak-petak pameran Hari Info Studi di KUPU SB.

Dr. Haji Adanan menambah, KUPU SB pada masa ini masih merancang program-program baru yang lebih relevan dengan keperluan pihak-pihak yang berkepentingan dan juga hala tuju negara di mana beberapa program yang berkaitan dengan ijazah perguruan akan diperkembangkan lagi seperti Sarjana Perguruan Ugama Pengajian Islam, Sarjana Perguruan Ugama Fiqh dan Usul Fiqh, Kepimpinan dan juga Pemikiran Islam.

“Insya Allah KUPU SB juga masih dalam perancangan untuk mengadakan pengajian Minor dalam bidang bimbingan dan kaunseling Islam serta keusahawanan dalam Islam, pendidikan awal kanak-kanak dan juga pendidikan khas.”

Beliau seterusnya menjelaskan lagi, pelajar-pelajar yang berkursus di KUPU SB nanti akan diberikan pengalaman untuk menjadi seorang pendidik ataupun guru agama serta mereka juga turut diberikan peluang untuk mengajar mata pelajaran yang lain seperti Sejarah Islam, kursus dalam bidang Fiqh, bidang keusahawanan, bidang kesihatan, bidang kepimpinan dan kaunseling, pendidikan awal kanak-kanak dan juga pendidikan khas.

Selain itu, KUPU SB nanti akan menawarkan 12 program yang baru di mana pelajar-pelajar lepasan KUPU SB juga akan mendapat peluang yang lebih besar lagi selain daripada menjadi guru agama.

Beliau berharap agar perancangan-perancangan ini akan berjaya dan akan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Pada hari terbuka ini juga, para pengunjung juga akan diberikan maklumat mengenai program-program pengajian yang ada, maklumat mengenai biasiswa, Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan juga maklumat prosedur permohonan.