KUPU SB anjur Ihya ‘Eidil Adha

KUPU SB anjur Ihya ‘Eidil Adha

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Ihya ‘Eidil Adha Majlis Ibadah Korban KUPUSB yang telah berlangsung di Dewan Serba guna, KUPU SB, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis anjuran Unit Kerohanian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan juga Persatuan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar, KUPU SB itu adalah bertujuan untuk mengingati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S serta mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan cara berzikir serta memuji kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T.

Dr. Haji Adanan semasa menyempurnakan penyampaian daging korban.
Dr. Haji Adanan semasa menyempurnakan penyampaian daging korban.

Selain itu, ia turut menanamkan amalan bersedekah terhadap golongan fakir miskin sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga KUPU SB dengan melaksanakan kerja bergotong-royong.

Pengagihan daging korban bagi tahun ini telah dibahagikan kepada para peserta yang berkorban sebanyak satu pertiga, sementara itu, satu pertiga kepada fakir miskin dan satu pertiga bahagian korban diagihkan kepada warga KUPU SB.