KUPU SB anjur...

KUPU SB anjur Majlis Habibi Rasulullah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul 1438H/2017M, persatuan pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan sokongan Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, semalam, telah menganjurkan Majlis Habibi Rasullulah S.A.W.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB itu ialah tetamu kehormat, Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Sambutan yang sebelumnya dikenali sebagai Ihtifal Cintai Rasul ini adalah kali kedua ia dianjurkan dengan membawakan pertandingan-pertandingan seperti Tausyeh, I-Fikir dan Video Dakwah selama tiga hari berturut-turut yang telah dibukakan penyertaannya kepada semua institut pengajian tinggi kerajaan dan swasta, universiti-universiti, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hasanal Bolkiah serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hasanal Bolkiah.

Di samping itu juga, sambutan berkenaan turut diserikan dengan bazar mini anjuran bersama Exco Perekonomian yang diadakan di luar Dewan Tarbiyyah.

Antara peserta yang menyertai pertandingan anjuran KUPU SB sempena menyambut Maulidur Rasul.
Antara peserta yang menyertai pertandingan anjuran KUPU SB sempena menyambut Maulidur Rasul.

Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasul dan menjadi nilai tambah kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam mencontohi, mencintai dan menghayati serta mengamalkan Sunnah Rasulullah S.A.W dan membentuk sifat mereka agar sentiasa berakhlak mulia, berketerampilan serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang selaras dengan ajaran agama.

Selain itu, ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama penuntut di kesemua institut pengajian tinggi dan mendukung usaha KUPU SB mencapai matlamatnya dalam memartabatkan Falsafah Melayu Islam Beraja dan mengukuhkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

ARTIKEL YANG SAMA