KUPU SB guna jawi semua urusan persuratan

KUPU SB guna jawi semua urusan persuratan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengumumkan bahawa bermula 1 Jun 2015, semua urusan persuratan/media sama ada di fakulti, pusat atau bahagian akan menggunakan tulisan jawi secara rasmi.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya selaku Pengerusi Majlis Pelancaran Pembudayaan Tulisan Jawi di KUPU SB yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra’es KUPU SB, Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim yang kemudiannya telah merasmikan Pelancaran Pembudayaan Tulisan Jawi dan menyerahkan kain rentang Pembudayaan Tulisan Jawi di KUPU SB kepada para wakil fakulti, pusat dan bahagian di KUPU SB.

Hadir sama ialah Timbalan Ra’es, Dr Haji Adanan bin Haji Besar dan Penolong Ra’es, Dr Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Menurut Hajah Zaliha, keputusan untuk menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi dibuat berikutan Mesyuarat Pegawai-pegawai Utama KUPU SB Kedua 2015 pada 14 Mei lalu yang bersidang mengenai Kertas Kerja Pelaksanaan Tulisan Jawi di KUPU SB.

pg03_150605_a

Sebahagian daripada kakitangan KUPU SB yang menyertai peraduan tulisan jawi.
Sebahagian daripada kakitangan KUPU SB yang menyertai peraduan tulisan jawi.

“Mesyuarat tersebut telah mencadangkan supaya diadakan satu majlis pelancarannya dan susulan itu, mesyuarat telah mengambil keputusan untuk memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada Pusat Ilmu Teras untuk mengendalikan majlis pelancaran itu,” ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, pelancaran penggunaan tulisan jawi itu juga sebagai mengambil perhatian daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Konvokesyen Ketiga KUPU SB pada 30 November 2013 yang berpendapat tulisan jawi dan pengajian kitab turath adalah perlu dipertahankan, bahkan mustahak diperkasakan kerana jawi merupakan identiti bangsa Brunei.

Hajah Zaliha menegaskan, titah Baginda Sultan itu telah menyuntik semangat dan memberikan kekuatan kepada KUPU SB untuk terus maju dalam usaha memartabatkan tulisan jawi dalam aspek penulisan dan persuratan serta media massa.

Katanya lagi, majlis pelancaran tulisan jawi di KUPU SB bertujuan untuk menghebahkan dan memeriahkan pembudayaan tulisan jawi di KUPU SB dan sebagai medium untuk mempromosikan penggunaan tulisan jawi di semua bahagian di KUPU SB.

Di samping itu, ia juga bagi menyebarluaskan penggunaan tulisan jawi di KUPU SB melalui persuratan/media dalam fakulti, pusat dan bahagian.

Serentak dengan pelancaran itu telah diadakan peraduan menulis jawi yang disertai oleh 30 kakitangan akademik dan bukan akademik kolej universiti itu.

ARTIKEL YANG SAMA