KUPU SB korban pertama MIC

KUPU SB korban pertama MIC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Mohamad Saufi Salleh muncul wira Micronet International College (MIC) setelah meledakan jaringan pada minit ke-90 untuk menghadiahkan kemenangan pertama MIC dalam Kumpulan B Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015.

Aksi di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong berkenaan nampak hambar pada separuh masa pertama kerana tiada jaringan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua buah pasukan.

Cerita berbeza pada separuh masa kedua apabila asakan demi asakan MIC sejurus sepak mula membuahkan hasil apabila akhirnya berjaya menembusi pertahanan dan gawang Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada minit ke-54 hasil jaringan Mohammad Noorshahmin bin Haji Norhashim.

KUPU SB mendapat hadiah gol pada minit ke-66 perlawanan untuk kedudukan terikat 1-1 apabila Muhammad Wa’ie bin Harun terjaring ke gawang sendiri, sekaligus membuatkan perlawanan menjadi bertambah menarik dengan kedua-dua pasukan kini berusaha mendapatkan gol kemenangan.

MIC dan KUPU SB terus gagal menghasilkan jaringan di sebalik usaha berterusan kedua-duan pasukan dalam tempoh baki 24 minit perlawanan sehingga perlawanan memasuki minit terakhir masa sebenar dan pada ketika itulah Mohamad Saufi menyaksikan rembatannya menggegar gawang KUPU SB.

Mohamad Saufi (jersi 23) menjaringkan gol kemenangan Micronet pada minit ke-90.
Mohamad Saufi (jersi 23) menjaringkan gol kemenangan Micronet pada minit ke-90.

Kemenangan 2-1 itu menjadi kemenangan pertama MIC dari tiga perlawanan yang sudah dilalui untuknya kini mengumpul empat mata untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan B dan terus menghidupkan peluang tipisnya mara ke separuh akhir.

Dengan Cosmopolitan College dan IGS sudah mengumpul enam mata dari dua perlawanan, MIC perlu menang perlawanan terakhirnya menentang IGS pada 1 Jun sambil mengharapkan IGS turut tewas kepada Cosmopolitan College pada 7 Jun ataupun Cosmopolitan College tewas dua perlawanan terakhirnya termasuk kepada LCB pada 30 Mei.

Manakala peluang KUPU SB pula terus tertutup kerana tewas tiga kali berturut-turut. Perlawanan terakhirnya pada 5 Jun nanti menentang LCB hanya menjadi pelengkap jadual dan mungkin untuk memastikan ia tidak akan menghuni tangga terbawah kumpulan.