KUPU SB musnahkan harapan kolej Laksamana

KUPU SB musnahkan harapan kolej Laksamana

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Harapan Laksamana College of Business (Laksamana) untuk mara ke separuh akhir Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 musnah petang ini apabila Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berjaya mengikatnya 1-1.

Pada perlawanan di Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) berkenaan, KUPU SB mendahului 1-0 menerusi jaringan Muhammad Rusaini bin Awang pada minit ke-10, sebelum disamakan oleh Mohammad Aisamuddin bin Haji Jali untuk Laksamana enam minit selepas rehat.

Dengan keputusan seri itu, Laksamana hanya mengumpul lima mata dari satu menang, dua seri dan satu kalah, manakala KUPU SB menamatkan kempennya tahun ini dengan hanya 1 mata dari satu seri dan tiga kalah.

Walaupun perlawanan terakhir Kumpulan B antara Cosmopolitan College (Cosmo) yang sudah mengumpul 6 mata dengan Kolej International Graduate Studies (IGS) yang sudah mengumpul 9 mata hanya akan berlangsung pada malam 7 Jun ini, kedua-dua pasukan berkenaan sudah sah layak ke separuh akhir.

Perlawanan kedua-dua pasukan teratas Kumpulan B itu mungkin hanya menjadi pelengkap jadual melainkan Cosmo berniat untuk mara sebagai juara Kumpulan B, namun agak sukar memandangkan IGS memiliki kelebihan 15 jaringan tanpa bolos berbandingnya hanya 6 jaringan dan 4 bolos.

KUPU SB (hijau) berjaya mengikat Laksamana (merah) 1-1 di perlawanan yang berlangsung kelmarin.
KUPU SB (hijau) berjaya mengikat Laksamana (merah) 1-1 di perlawanan yang berlangsung kelmarin.

Peluang tipis Cosmo layak selaku juara Kumpulan B hanya akan menjadi nyata apabila ia menang sekurang-kurangnya dengan jarak 7 gol seperti 7-0, 8-1, 9-2 dan seterusnya ke atas IGS untuk menjatuhkan IGS ke tangga kedua.

Melihat kepada betapa sukarnya keputusan itu dicapai Cosmo, maka pada separuh akhir nanti kemungkinan besarnya Kolej IGS selaku juara Kumpulan B akan bertemu Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku naib juara Kumpulan A, manakala Institut Tekonologi Brunei(ITB) selaku juara Kumpulan A akan menentang Cosmo selaku naib juara Kumpulan B.

ITB dan UBD menamatkan empat perlawanan peringkat kumpulan mereka tanpa kalah selepas masing-masing mencatat tiga menang dan satu seri untuk sama-sama mengumpul 10 mata, namun ITB layak selaku Juara Kumpulan A dengan catatan 14 jaringan dan 4 bolos (+10 perbezaan gol) berbanding 6 jaringan tanpa bolos (+6 perbezaan gol) yang dicatat UBD.

ARTIKEL YANG SAMA