KUPU SB perkenal 5 program baru

KUPU SB perkenal 5 program baru

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Lima program baru diperkenalkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) untuk sesi 2016/2017 di mana program baru ini adalah hasil analisis penilaiankurikulum program KUPU SB yang di tawarkan.

Ini dilihat dari aspek matlamat, kandungan, sukatan pelajaran, struktur dan aktiviti serta kesesuaian dengan program perguruan dan kurikulum yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah dan hala tuju serta falsafah negara.

Perkara ini dinyatakan oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar pada sidang media mengenai program baru KUPU SB, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, matlamat program ini adalah untuk melahirkan graduan yang soleh sebagai guru agama berjati diri Melayu Islam Beraja yang kompeten secara holistik.

Selain itu, ia juga bermatlamat untuk merealisasikan fungsi KUPU SB sebagai sebuah institut latihan perguruan yang efektif.

Dr Haji Adanan pada sidang media menerangkan program baru yang ditawarkan di KUPU SB.
Dr Haji Adanan pada sidang media menerangkan program baru yang ditawarkan di KUPU SB.

Program-program baru yang ditawarkan itu adalah Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama dengan Minor, Peringkat Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah (Penstruktur Baru), Peringkat Sarjana Perguruan Ugama dan Peringkat Doktor Falsafah.

Menurut beliau, program ini digubal dan disusun semula supaya ia benar-benar selaras dengan kandungan kurikulum Pengetahuan Ugama Islam atau apa yang diajar di sekolah kerajaan dan swasta daripada peringkat pra, rendah, menengah dan menengah atas.

Selain program baru ini, jelasnya, KUPU SB menyediakan kursus profesional perguruan yang lebih tersusun mengikut standard kurikulum yang sesuai dalam pendidikan perguruan yang lebih praktikal dan berkesan melalui kajian perbandingan dengan amalan terbaik di IPT perguruan antarabangsa.

Program ini diharap akan melahirkan guru pelatih graduan yang kompeten dengan menguasai perkara yang antaranya guru berilmu, beramal dan beradab selain menguasai kurikulum Pengetahuan Ugama Islam, menguasai pedagogi dan guru profesional.

Di samping itu, program tersebut juga sangat penting untuk perkembangan dan pembangunan negara serta antarabangsa khususnya dalam penyebaran syiar Islam melalui pendidikan Islam. Dalam program baru ini, program kokurikulum merupakan program pelengkap kepada kurikulum pengajian yang ditawarkan dan ia juga merupakan antara syarat bagi setengah program.

“Dalam program ini, tumpuan diberikan kepada aspek praktikal dalam pembentukan sahsiah holistik yang antaranya kemahiran asas perguruan agama iaitu kemahiran dalam Al-Quran, asas amali ibadat, kemahiran Jawi dan hafalan surah dan ayat pilihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, calon-calon akan dianugerahkan ijazah dengan memenuhi keperluan-keperluan seperti mendaftar semua kursus dengan menyempurnakan bilangan kredit seperti yang di tetap dalam program, lulus semua kursus dengan mencapai PNGK 2.0 ke atas dan mendapat pengakuan daripada Lembaga Peperiksaan KUPU SB dan pengesahan Senat.

ARTIKEL YANG SAMA