KUPU SB rai Israk Mikraj

KUPU SB rai Israk Mikraj

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Bagi memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) petang tadi menganjurkan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj 1437 Hijrah bertemakan ‘Sembahyang Kunci Syurga’.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis diserikan dengan forum khas berkisar mengenai tema sambutan negara ‘Sembahyang Kunci Syurga’ yang dibincangkan oleh Pensyarah KUPU SB iaitu Dayang Norasibah binti Haji Awang Besar, Haji Muhammad Syahiran bin Haji Muhammad Sofian dan Dayangku Nurul Majeedah binti Pengiran Haji Hamdan sebagai ahli-ahli panel dan Awang Ali Hardi bin Haji Mohammad selaku moderator.

Forum antara lain menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada Israk dan Mikraj termasuk peristiwa Rasulullah S.A.W diangkat ke langit yang tertinggi untuk berjumpa Allah S.W.T dengan hanya pada satu malam sahaja.

Dr Haji Adanan (kanan) hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Dr Haji Adanan (kanan) hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Ahli-ahli panel telah menjelaskan mengenai dua peristiwa yang berlaku pada Israk dan Mikraj iaitu perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan perjalanan Nabi Muhammad S.A.W diangkat ke langit menuju ke Sidrat Al-Muntaha untuk menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah ibadat sembahyang.

Majlis tersebut bertujuan untuk menyemarakkan suasana sambutan hari-hari kebesaran Islam dan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T.

Ia juga mengeratkan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan warga KUPU SB, di samping membentuk sahsiah ke arah kecemerlangan insan yang bertakwa.

Sebelum acara dimulakan, majlis diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Haji Zainul Arifin Reduan Lubis dengan terjemahannya disampaikan oleh Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.