Kura-kura seludup spesies terancam

Kura-kura seludup spesies terancam

MANILA, 25 Okt (AFP) – Permintaan China bagi kura-kura hutan itu telah mengancam spesies terancam yang hanya satu-satunya ditemui di sebuah pulau Filipina, menurut pegawai hidupan liar hari ini.

Kura-kura Hutan Filipina, hanya ditemui di pulau barat Palawan, salah satu daripada kura-kura air tawar yang telah dicuri oleh pemburu haram untuk dijual ke China, kata Adelina Villena, ketua kakitangan di Majlis Pembangunan Mapan Palawan.

“Mereka menjual haiwan tersebut untuk dijadikan makanan eksotik China dan perdagangan perubatan serta perniagaan haiwan peliharaan. Haiwan-haiwan itu diseludup keluar ke negara tersebut, malah beberapa daripadanya telah diniagakan di laut lepas,” ujarnya kepada AFP.

Reptilia itu juga dikenali sebagai kura-kura hutan Palawan, disenaraikan sebagai ‘spesies kritikal terancam’, oleh Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) dan hanya ditemui di hutan dan kawasan anak sungai.

Ia memiliki cangkerang berwarna coklat atau hitam dan dapat dikenali menerusi jalur berwarna terang bersilang di kepalanya, di belakang telinganya.

Kira-kira 20 daripada haiwan yang jarang ditemui ini telah dirampas pada 18 Oktober di antara rampasan hampir beribu-ribu kura-kura hutan yang dikumpulkan oleh peniaga hidupan liar haram di Palawan, kata Villena.

Menurutnya pemburuan haram kura-kura tersebut telah meningkat baru-baru ini dengan lebih 4,000 kura-kura air tawar, kebanyakannya adalah pelbagai jenis yang terancam, juga dirampas di Palawan pada Jun.

“Ia mudah untuk dicari dan ditangkap kerana haiwan itu tidak bergerak dengan pantas. Ia juga tidak mudah terlepas.”

ARTIKEL YANG SAMA