Kurang bekalan air, musim kering berpanjangan

Kurang bekalan air, musim kering berpanjangan

KUCHING, 4 Feb – Beberapa batang sungai di Bakelalan semakin surut disebabkan musim kering yang berpanjangan dan penduduk di kawasan itu berdepan masalah kekurangan bekalan air, kata Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Nelson Balang Rining.

Beliau berkata pejabat SPDP bahagian Bakelalan di Lawas dan beliau sendiri menerima rayuan daripada penduduk di bahagian tengah dan hulu tanah tinggi Bakelalan yang berdepan masalah kekurangan bekalan air disebabkan musim kering yang melanda sekarang.

“Saya sendiri telah melawat Long Sukang dan kawasan sekitarnya pada hujung minggu lepas dan mendapati beberapa batang sungai semakin surut,” kata Balang, yang juga bekas ADUN Bakelalan.

Beliau berkata antara yang terjejas adalah pelajar di SK Long Sukang, SK Long Semadoh dan SK Bakelalan.

“Saya menganggarkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk kampung dari beberapa penempatan berdepan masalah kekurangan bekalan air memandangkan mereka bergantung kepada sungai dari kawasan tadahan air untuk memasak dan kegunaan harian,” katanya.

Balang berkata beliau telahpun membangkitkan tentang masalah itu kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Zuraimi Saki, yang berjanji akan memberi perhatian terhadap perkara itu.

Katanya JKR di Limbang dan Lawas dijangka menyelaraskan bantuan segera atau menyalurkan bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

Balang berkata beliau akan terus memantau rapi keadaan di tanah tinggi itu setiap hari.

“Kami akan membantu JKR dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk membantu penduduk terjejas,” katanya. – Bernama