Kurang komitmen punca gagal cemerlang

Kurang komitmen punca gagal cemerlang

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Sikap atlet kebangsaan yang tidak memberikan sepenuh komitmen semasa menyertai Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-28 di Singapura 2015 menjadi antara punca utama Negara Brunei Darussalam gagal memperbaiki kecemerlangan seperti yang diraih di Sukan SEA ke-27 di Myanmar dua tahun sebelumnya.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda mempersoalkan prestasi dan program latihan yang dilaksanakan oleh para jurulatih kebangsaan atas pencapaian yang rendah itu.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA ke-28 Singapura 2015, yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke mesyuarat itu dijunjung oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Pengarah Belia dan Sukan, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad, selaku Chef de Mission Sukan SEA ke-28 serta para pegawai Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, para pengurus pasukan dan atlet negara.

“Prestasi dan pencapaian atlet Sukan SEA negara pada keseluruhannya adalah menurun dan saya berpendapat kebanyakan atlet kita kurang memberikan komitmen, ketahanan mental dan keyakinan diri yang lemah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara menyampaikan sabda pada Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA ke-28 di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas kelmarin. – Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara menyampaikan sabda pada Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA ke-28 di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas kelmarin. – Gambar Infofoto

“Ini adalah faktor-faktor utama yang menyebabkan menurunnya prestasi sekali gus gagal untuk meraih banyak pingat,” sabda Duli Pengiran Bendahara sambil menambah kata, para jurulatih dalam bidang sukan masing-masing yang terlibat seharusnya lebih pakar dan lebih peka dalam mencari rumusan kepada masalah itu.

Duli Yang Teramat Mulia bagaimanapun menekankan supaya pada masa akan datang semua atlet akan lebih bertanggungjawab dan tulus sama ada mereka benar-benar bersedia untuk menyertai sesuatu kejohanan sukan.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, perkara itu adalah penting kerana penyertaan mereka bukan hanya setakat “suka-suka” sebaliknya perlu dilengkapi dengan komitmen semangat juang yang tinggi .

Duli Yang Teramat Mulia menegaskan mereka harus memberikan komitmen sepenuh hati terhadap tanggungjawab yang diamanahkan iaitu dengan objektif untuk menang dan bukan sekadar untuk memperbaiki rekod kebangsaan atau peribadi.

Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan juga berharap supaya objektif penyertaan itu benar-benar difahami oleh pasukan serta berharap walaupun kemenangan itu sukar untuk diraih, namun persoalannya “sama ada pasukan kita benar-benar komited dalam latihan dan membuat persediaan secukupnya dan menterjemahkannya semasa pertandingan.

Penekanan mengenai lulus ujian kecergasan sebagai salah satu kriteria juga disentuh oleh Duli Pengiran Bendahara bagi memastikan bahawa atlet yang menjalaninya benar-benar cergas dan bukan mengalami kecederaan.

Pada sesi mesyuarat itu juga Duli Yang Teramat Mulia telah mendengar masalah-masalah yang diutarakan oleh pengurus dan para atlet persatuan sukan.

Antara yang disembahkan ialah isu mengenai kriteria tahap pencapaian atlet yang terpilih, isu pelepasan dan kebenaran oleh majikan terhadap atlet-atlet yang mengikuti latihan dan kejohanan bagi tempoh yang lama, serta masalah pihak sekolah yang enggan melepaskan para pelajar mereka menyertai pasukan kebangsaan kerana khuatir akan ‘kehilangan’ pelajar mereka setelah menyertai pasukan kebangsaan dan menjalani latihan.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam mencatat rekod kurang memberangsangkan pada Kejohanan Sukan SEA Singapura Jun lalu dengan hanya berjaya mengumpul satu pingat perak dan enam pingat gangsa, tanpa meraih sebarang pingat emas.

ARTIKEL YANG SAMA