Kurang petani, penghasilan padi di Belait menurun

Kurang petani, penghasilan padi di Belait menurun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Mei – Penghasilan padi bagi Daerah Belait semakin menurun semenjak tahun 2012 berikutan kurangnya jumlah petani terbabit dalam penanaman padi.

Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi musim penuaian padi pada tahun 2014 menunjukkan hanya 188 orang petani berdaftar di daerah itu berbanding 286 orang petani dua tahun sebelumnya, menghasilkan hanya 182 tan metrik beras, turun mendadak daripada jumlah 232 tan.

Statistik itu dikongsikan oleh Ketua Unit Pertanian Daerah Belait, Awang Mat Rusli bin Haji Abu Bakar yang ditemui Media Permata pada kursus Projek Sekolah Perladangan Padi di sini.

Menurutnya, jumlah petani berkurangan kerana ramai yang sudah berusia dan tidak lagi berupaya mengerjakan sawah padi mereka, manakala anak-anak muda pula kurang berminat untuk mengisikan kekosongan itu.

“Daerah Belait sedang menghadapi cabaran dalam bidang pertanian padi apabila petani semakin tua dan mahu berehat daripada bersawah padi, manakala orang muda di sini tidak menunjukkan minat dalam bidang pertanian, maka hasil padi tidak lagi dapat bertahan,” katanya.

Sebahagian peserta yang mengikuti kursus Projek Sekolah Perladangan Padi di Daerah Belait, kelmarin.
Sebahagian peserta yang mengikuti kursus Projek Sekolah Perladangan Padi di Daerah Belait, kelmarin.

Bagi membantu mengatasi masalah itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan Daerah Belait terus melaksanakan kursus-kursus kepada para petani dan orang ramai yang berminat menyertainya seperti Projek Sekolah Perladangan dalam usaha mencetuskan minat jangka panjang dalam kalangan petani.

“Kami baru saja selesai bagi edisi pertama melalui Projek Sekolah Perladangan Padi yang dijalankan selama lebih sebulan, namun ia hanya disertai tujuh orang petani meskipun kami mengundang petani-petani yang berdaftar secara berkumpulan, untuk memberikan mereka pengetahuan dan amalan terbaik untuk meningkatkan hasil dan bijak mengatasi cabaran yang dihadapi,” kata Awang Mat Rusli.

Menurutnya lagi, kawasan pengeluaran beras di Lot Sengkuang di kawasan luar bandar Labi yang berkeluasan 300 hektar diwartakan untuk penanaman padi, hanya separuh yang aktif digunakan sehinggakan rancangan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan pada 2009, untuk menambah sehingga 700 hektar keluasan kawasan penanaman padi belum lagi menjadi kenyataan.

Manakala di kawasan pedalaman lainnya di bahagian selatan daerah ini, penanaman padi diaktifkan secara bersendirian, dan petani-petaninya menjual beras masing-masing. Selain itu penanaman padi juga turut diusahakan di kawasan Sungai Lalit Mukim Liang dengan keluasan 48 hektar ditetapkan sebagai Kawasan Pertanian Luar Bandar (KPLB). Bagaimanapun seperti juga kawasan KPLB lainnya, Sungai Lalit tidak dapat dipadankan dengan bidang komersial atau Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP).

Dengan penurunan pengeluaran beras juga turut mencerminkan kekosongan yang lebih luas dalam industri pertanian di daerah ini, yang telah gagal mencatatkan pertumbuhan yang ketara manakala tiga daerah lainnya terus maju.

Dalam musim menuai 2014, Daerah Belait terpaksa menyerah gelaran pengeluar terbesar buah-buahan dan pelbagai tanaman lainnya kepada Daerah Brunei dan Muara.

Sementara itu pada tahun 2013, Daerah Belait telah mengumpulkan sejumlah 1,470 tan buah-buahan, iaitu 38 peratus daripada jumlah hasil tempatan yang bernilai $4.2juta.

Setahun kemudian, pengeluaran mengurang sejumlah 18 tan, dengan nilai runcit jatuh kepada $3.6 juta.

Manakala Daerah Brunei dan Muara menghasilkan lebih dua kali ganda pengeluaran buah-buahannya dalam tempoh yang sama, dengan Tutong dan Temburong juga mencatatkan kemajuan, menyebabkan sumbangan Daerah Belait menurun kepada 24.9 peratus.

Daerah Belait mempunyai kenaikan sebanyak lapan tan dalam pengeluaran pelbagai tanaman pada tahun 2014, yang terdiri daripada akar, rempah, tebu dan sagu, tetapi tidak cukup untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang tertinggi.

ARTIKEL YANG SAMA