Kurangkan birokrasi, beri kecekapan lebih tinggi

Kurangkan birokrasi, beri kecekapan lebih tinggi

BEIJING, 20 Nov (Bernama) – Beijing mengurangkan 439 kelulusan pentadbiran jabatan kerajaan, atau kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan, sejak tiga tahun lepas dalam usaha mengurangkan birokrasi, menurut kerajaan perbandaran.

Susulan pembaharuan itu, jumlah peringkat kelulusan untuk projek-projek pelaburan, misalnya, telah dikurangkan daripada lebih 80 kepada kira-kira 50, selain had masa dipendekkan kepada 109 hari bekerja berbanding lebih 300 hari, kata Liu Yunguang, Pengarah Pembaharuan Sektor Awam Pejabat Suruhanjaya Perbandaran Beijing.

Kerajaan perbandaran turut menerima pakai senarai kuasa pentadbiran bagi 2,428 perkara melibatkan 45 jabatan berbeza dan akan dibentangkan kepada umum tidak lama lagi, Liu dipetik pada laman web Pejabat Penerangan Kerajaan Perbandaran Rakyat Beijing di sini Jumaat.

Katanya senarai tanggungjawab khas juga digariskan untuk mengendalikan sektor penting seperti pengurusan penduduk, pencemaran udara dan keselamatan kerja. Senarai kuasa dan tanggungjawab itu akan diletakkan di bawah pengawasan awam.