Kurapak Menjelang Sungkai merungkai masalah sosial

Kurapak Menjelang Sungkai merungkai masalah sosial

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong, hari ini, telah mengadakan Siri Perlindungan Belia Pertama (YPS), Kurapak Menjelang Sungkai yang membawa tema “Apabila Baju Melayu bertemu Baju Kurung”.

Majlis ceramah yang berlangsung di masjid tersebut itu antaranya membicarakan isu-isu pergaulan bebas dan kehamilan luar nikah yang mengetengahkan empat orang ahli panel utama iaitu Pegawai Agama di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mohd Yussuf bin Haji Abdul Majid; doktor perubatan di klinik swasta, Dr Haji Rozaimee bin Haji Tengah; Hajah Noor Hidayah binti Haji Osman dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM); dan pelajar doktor falsafah dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman.

Lebih 300 orang belia serta jemaah Masjid Sultan Sharif Ali hadir mendengarkan ceramah berkenaan yang dibahagikan kepada tiga bahagian, yang bermula dengan pembentangan slaid oleh Hajah Noor Hidayah diikuti dengan sesi kedua dengan menampilkan Dr Haji Rozaimee yang antaranya memberikan penekanan kesan dan impak negatif pergaulan bebas serta kehamilan di usia muda.

Sebelum bersungkai, majlis diteruskan dengan forum yang menampilkan dua orang ahli panel iaitu Awang Mohd Yussuf dan Hajah Ummi Fa’izah.

Forum yang diadakan sebelum bersungkai di majlis itu kelmarin.
Forum yang diadakan sebelum bersungkai di majlis itu kelmarin.

Siri perlindungan belia ini merupakan program yang bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan remaja dan belia, dengan membincangkan tentang punca dan jalan penyelesaian kepada gejala sosial dalam kalangan belia di negara ini.

Manakala itu, antara objektif YPS ini adalah untuk memberikan pengetahuan dan persediaan kepada belia dan orang ramai terutama dalam mengelakkan terjadinya perkara negatif melalui mendedahkan kepada adab pergaulan menurut perspektif Islam.

Ia juga menjelaskan mengenai bahaya kehamilan di luar pernikahan dan impaknya daripada perspektif perubatan serta membuka minda dan mata para belia akan senario sebenar yang terjadi di negara ini apabila menyentuh mengenai gejala sosial termasuk perihal HIV, AIDS dan LGBT.

Program itu juga membincangkan mengenai punca dan penyelesaian masalah sosial yang terjadi menurut pandangan Islam, sekali gus melengkapkan kesediaan belia untuk mengawal diri daripada terjebak kepada perkara yang tidak diingini.

ARTIKEL YANG SAMA