Kurma kurnia ...

Kurma kurnia mula diagih

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Rakyat dan penduduk beragama Islam negara ini akan mula mendapat Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan yang bakal disambut minggu depan.

Sejumlah 157.5 tan metrik kurma jenis Safawy yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan diagihkan ke seluruh negara kepada setiap umat Islam tidak mengira had umur dan kerakyatan.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sempena Bulan Ramadan 1438H/2017M yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia berkenan bersabda menekankan agar pemimpin akar umbi yang terdiri daripada penghulu mukim dan ketua kampung yang terlibat secara langsung dalam pengagihan buah kurma kurnia itu agar melaksanakan pengagihan dengan penuh bertanggungjawab dan amanah.

“Ini kerana telah sampai ke pengetahuan saya masih juga ada orang ramai di negara ini yang tidak menerima kurma kurnia berkenaan. Apa yang lebih mendukacitakan, walaupun pihak Yayasan telah menyediakan borang-borang serah terima yang perlu ditandatangani pihak menerima dan menyerah, masih terdapat segelintir penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang tidak melaksanakan pengagihan tersebut dengan baik dan sempurna seperti mana yang diamanahkan,” sabda Yang Teramat Mulia.

YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada para penghulu dan ketua kampung.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada para penghulu dan ketua kampung.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1438H/2017M.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1438H/2017M.

Kepincangan ini menggambarkan adanya sebahagian pemimpin akar umbi yang kurang menepati ciri-ciri dan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin iaitu bersifat jujur dan amanah, tegas Yang Teramat Mulia lagi.

“Oleh itu, saya berharap pihak pengurusan Yayasan termasuk pegawai-pegawai daerah akan dapat memantau pelaksanaannya dengan lebih teliti bagi memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku lagi pada tahun ini, demi memastikan umat Islam di negara ini tidak terkecuali daripada menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda itu.”

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Antara yang menghadiri Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri kelmarin.
Antara yang menghadiri Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri kelmarin.

Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyerahkan buah kurma kurnia kepada pemerintah-pemerintah tentera dan komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), pengarah-pengarah formasi Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara.

Terdahulu, Menteri Pendidikan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam sembah alu-aluannya menyatakan bagi 2017, 157.5 tan metrik kurma akan diagihkan dalam kotak kecil seberat 300 gram kepada seluruh rakyat dan penduduk melalui semua penghulu mukim yang memangku jawatan ketua kampung dan juga ketua-ketua kampung kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka.

Sementara itu, pemerintah-pemerintah dan komandan-komandan ABDB serta pengarah-pengarah formasi dan pegawai-pegawai pemerintah PDB akan mengagihkan buah kurma kurnia peribadi berkenaan kepada pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit formasi masing-masing.

Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Baginda Sultan itu, dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan dan pengurniaan itu, sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat yang mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda.