Kursus akar umbi tutup tirai

Kursus akar umbi tutup tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Penyertaan salah seorang insan istimewa tanpa kedua-dua belah tangan iaitu Muhd Bahri bin Bohari dalam Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016 mengujakan Instruktor FIFA dari Malaysia, Datuk Yap Nyim Keong.

Datuk Yap menyatakan itu kali pertama dalam sejarah penglibatannya mengendalikan kursus seumpamanya di seluruh dunia menyaksikan penyertaan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga menyebabkannya merancang untuk menyebutkan nama Muhd Bahri secara khusus kepada FIFA untuk membantunya memajukan diri dalam bidang kejurulatihan bola sepak akar umbi.

“Muhd Bahri memberikan saya lebih banyak galakan untuk terus terlibat dalam bola sepak akar umbi,” ujar Datuk Yap semasa ditemui media selepas tamatnya Festival Bolasepak Akar Umbi Kebangsaan NFABD 2016 dan Majlis Penutup & Penyampaian Sijil Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016 di Padang Turf, NFABD House kelmarin.

“Keterlibatan Muhd Bahri menginspirasikan kanak-kanak yang terlibat apatah lagi dia berjaya menunjukkan kemahiran bermain bola sepak yang hebat, maka bagi saya, dia adalah duta kepada OKU yang lain di mana juga mereka berada.”

“Dia (Muhd Bahri) tidak mahu orang kasihan kepadanya apabila bermain bola sepak dengannya tetapi bersungguh-sungguh seperti biasa. Lebih mengaspirasikan lagi ialah set mindanya yang positif sehinggakan dia bercita-cita untuk menjadi jurulatih kepada sebuah kelab bola sepak, apa yang sangat diperlukan oleh masyarakat, ” kongsi Datuk Yap lanjut.

Keriangan kanak-kanak ketika menyertai Festival Bolasepak Akar Umbi Kebangsaan NFABD 2016.
Keriangan kanak-kanak ketika menyertai Festival Bolasepak Akar Umbi Kebangsaan NFABD 2016.

Festival Bolasepak Akar Umbi Kebangsaan NFABD 2016 melibatkan lebih 400 kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dari sekolah-sekolah terpilih dan 27 orang peserta Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016 yang telah bermula sejak 26 Januari lepas.

Festival tahunan untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun itu termasuk dalam jadual Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA bertujuan bagi memberikan peluang kepada pesertanya untuk mengaplikasikan ilmu perolehan daripada kursus dalam suasana pesta.

Mengendalikan festival yang berlangsung pada sebelah pagi kelmarin berkenaan ialah Instruktor FIFA dari Malaysia, Datuk Yap yang merupakan pemudah cara Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016.

Hadir menyaksikan perjalanan festival dan kemudiannya menutup rasmi festival dan kursus berkenaan dengan ucapan dan penyampaian sijil kepada para peserta kursus ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid.

Datuk Yap dalam temu bual media menjelaskan padang telah dibahagikan kepada 18 stesen semasa festival yang setiap satunya melatih kanak-kanak mengikut kumpulan masing-masing secara bergilir-gilir.

Kanak-kanak telah didedahkan kepada perlawanan bola sepak dalam jumlah yang kecil serta dilatih teknik-teknik asas permainan bola sepak seperti mengelecek, menendang, menghantar, menahan, menanduk, menjaringkan gol dan lain-lain, yang dilakukan dalam suasana riang supaya kanak-kanak gembira melakukannya, ujarnya lanjut.

“Idea penuhnya adalah ‘bermain untuk belajar’ iaitu semakin mereka bermain, semakin banyak mereka belajar. Apa yang penting bermain itu dijalankan penuh keceriaan kerana pemain perlu gembira bermain bola sepak untuk jatuh cinta kepada permainan bola sepak.”

Pada bulan Mei 2016 nanti iaitu ‘Bulan Akar Umbi’, Datuk Yap mendedahkan beliau telah mendapat maklum balas daripada Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong dan Pegawai Jurulatih Kanan NFABD, Stephen Ng bahawa NFABD telah merancang untuk mengadakan Program Bolasepak Akar Umbi di semua daerah.

Beliau juga sangat gembira dengan perancangan berkenaan kerana ia satu langkah maju ke depan dalam pembangunan bola sepak Brunei Darussalam khususnya di peringkat akar umbi.

“Ilmu pengetahuan itu tidak mencukupi sehinggalah ia digunakan, kemahuan juga tidak mencukupi sehinggalah ia dilakukan,” tegas Datuk Yap ketika mengakhiri perbualan dengan media. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA