Kursus alam sekitar tingkat kesedaran bersama

Kursus alam sekitar tingkat kesedaran bersama

SANDAKAN, 5 Sept – Bagi mencapai matlamat Kursus Pendidikan Alam Sekitar berkonsepkan perlumbaan \ʼAmazing Race’, Jabatan Perhutanan Sabah mengambil inisiatif menganjurkan kursus EERace selama empat hari yang berakhir semalam.

Kursus edisi ke-17 yang direka bentuk Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok dekat sini, disertai 32 Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan Ketua Sektor dari Jabatan Pendidikan Sabah.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Manan ketika menutup kursus itu di RDC berkata pendidikan alam sekitar di negara ini tidak dijadikan mata pelajaran dan hanya diterapkan menerusi kurikulum, maka timbul kekangan para pendidik untuk melakukan penerapan mengenai alam sekitar.

“Ia merupakan salah satu cara jabatannya untuk membentuk masyarakat yang peka terhadap keadaan alam sekitar dan sekolah merupakan pentas yang paling sesuai.

“Sekiranya pendidikan alam sekitar diberi penekanan sewajarnya oleh semua pihak, dalam jangka masa panjang, kita akan melahirkan masyarakat intelektual dalam suasana alam yang bersih dan terjaga,” katanya kepada Bernama di sini. Menurut Sam menerusi kursus itu, peserta dapat mendalami kepentingan serta relevannya kursus itu, seterusnya dapat meningkatkan kesedaran alam sekitar kalangan pelajar. – Bernama