Kursus bantu beri khidmat kaunseling mantap

Kursus bantu beri khidmat kaunseling mantap

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Bagi menangani pelbagai masalah salah laku dan gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah, seramai 34 peserta terdiri daripada guru-guru dan para pegawai kerajaan telah menghadiri Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling di Bilik Ibadat, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, hari ini.

Kursus selama lima hari yang berakhir pada 21 November itu telah dikendalikan bersama oleh Bahagian Sekolah Arab, Institusi Pengajian dan Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Institusi Pengajian Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Jabatan Sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan.

Adapun tujuan kursus ini diadakan adalah bagi menghasilkan guru-guru yang akan dapat membantu memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang mantap, tersusun, sistematik lagi berkesan untuk memastikan keberkesanan pendidikan, pembentukan peribadi dan pembinaan nilai-nilai murni pelajar selari dalam usaha merealisasikan Wawasan Negara 2035 dan SPN21.

Antara peserta kursus ketika mengikuti sesi perkenalan pada permulaan Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling, kelmarin.
Antara peserta kursus ketika mengikuti sesi perkenalan pada permulaan Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling, kelmarin.
Warga Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ketika mengendalikan kursus berkenaan.
Warga Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ketika mengendalikan kursus berkenaan.

Selain itu, ia juga untuk memenuhi keperluan pihak sekolah dan pelajar supaya perkhidmatan dan kemahiran guru bimbingan dapat dimanfaatkan secara optimum untuk perkembangan dan pembangunan pelajar di sekolah-sekolah di negara ini.

Dalam kursus ini, para peserta juga diberi kefahaman tentang pelbagai teori kaunseling serta kegunaannya, memberikan pendedahan dan ilmu tentang kemahiran-kemahiran asas kaunseling, untuk mengenal peringkat-peringkat dalam proses kaunseling dengan baik.

Sepanjang kursus ini nanti, para peserta juga akan diberikan pendedahan untuk mengenal konsep, cara mengendalikan kaunseling kelompok, latihan dalam kelompok dan kepentingan mengurus serta melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA