Kursus intensif pertanian

Kursus intensif pertanian

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Sekolah Perladangan Pengusaha Sayur yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi membantu pengusaha sayur-sayuran yang baru berkecimpung dalam dunia pertanian, telah menganjurkan kursus berkaitannya sejak Mac tahun lalu.

Seramai 13 peserta daripada Majlis Perundingan Kampung Lumapas, dua orang dari syarikat persendirian serta 13 pegawai dan kakitangan yang telah terpilih menjalani kursus tersebut yang diadakan mengikut perancangan penanaman pengusaha-pengusaha pertanian.

Pakar-pakar daripada unit lain yang turut terlibat ialah Unit Sains Tanah dan Nutrien Tanaman, Unit Perlindungan Tanaman, Unit Pembangunan Sayur-sayuran dan Teknologi Tinggi, Unit Pembangunan Sayur-sayuran serta Unit Lepas Tuai.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, sekolah perladangan ini lebih menumpukan kepada keberkesanan penyampaian maklumat daripada pakar kepada pengusaha-pengusaha yang disampaikan dengan cara dan bahasa yang lebih mudah difahami iaitu melalui pengalaman dan pemantauan bukan secara teori atau teknikal yang sukar untuk difahami oleh pengusaha atau individu yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang sains pertanian.

Para peserta ditunjuk ajar cara-cara penggunaan racun perosak.
Para peserta ditunjuk ajar cara-cara penggunaan racun perosak.

pg10_150620_a

Para peserta dibawa melawat ke ladang Haji Zainal bin Haji Safar untuk mendengar tip daripada pengusaha berjaya.
Para peserta dibawa melawat ke ladang Haji Zainal bin Haji Safar untuk mendengar tip daripada pengusaha berjaya.
Para peserta ketika membuat praktikal di sebuah ladang.
Para peserta ketika membuat praktikal di sebuah ladang.

Kebanyakan penyampaian maklumat adalah dengan menggunakan gambar, objek dan pemahaman agar ilmu yang telah diterapkan akan berkekalan dalam minda mereka.

Kursus terdiri daripada pelbagai bidang latihan seperti pengurusan ladang, latihan amali, pengenalan peralatan, semaian, pengenalan tanah, biji benih, perlindungan tanaman, penyediaan ladang dan proses pencucian produk yang telah diterapkan kepada para pengusaha secara berasingan.

Selain menjalankan kursus, para peserta juga dibawa melawat di ladang-ladang yang maju bagi menaikkan semangat peserta dan mendengarkan sedikit tip daripada pengusaha-pengusaha yang berjaya.

Pemantauan serta khidmat nasihat secara berterusan dilaksanakan sehingga tempoh lima bulan mengikut keperluan.