Kursus kecemasan berakhir

Kursus kecemasan berakhir

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai tatacara pertolongan cemas khususnya apabila berlaku kecemasan.

Sehubungan dengan itu, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dengan kerjasama Markas Khidmat Perubatan & Kesihatan, Tentera Darat Diraja Brunei mengadakan Kursus Asas Pertolongan Cemas selama tiga hari yang berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serbaguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berakhir hari ini.

Kursus yang bermula 19 Januari lalu itu disertai oleh seramai 30 orang peserta dari agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan termasuk para sukarelawan yang berdaftar di bawah Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Persaudaraan Shorinji Kempo Brunei Darussalam (PERKEB) dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) serta orang perseorangan.

Para peserta kursus yang berjaya menamatkan latihan mereka diraikan dalam majlis penutup dan menerima sijil penyertaan masing-masing daripada Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Haji Brahim ketika menghadiri majlis tersebut.
Haji Brahim ketika menghadiri majlis tersebut.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil dan cenderamata kepada para peserta kursus.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil dan cenderamata kepada para peserta kursus.

p08-3_20160122

Antara para peserta kursus yang hadir. - Gambar oleh Muiz Matdani
Antara para peserta kursus yang hadir. – Gambar oleh Muiz Matdani

Turut hadir ialah Pengarah NDMC, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu; Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat; Pegawai Gerakan & Latihan Perubatan, Markas Khidmat Perubatan & Kesihatan, Kapten Pengiran Hajah Saliza binti Pengiran Haji Ibrahim, tenaga pengajar kursus dan pegawai serta kakitangan NDMC.

Kursus bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai tatacara rawatan pertolongan cemas khususnya apabila berlakunya kecemasan.

Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam kursus berkenaan, tahap kesiapsiagaan dan kapasiti para peserta bukan sahaja dapat dipertingkatkan, malahan mereka juga dapat memainkan peranan masing-masing apabila diperlukan khususnya semasa terjadi bencana atau kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA