Kursus Kejurulatihan FIFA labuh tirai

Kursus Kejurulatihan FIFA labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA menutup tirainya hari ini dengan Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Sijil kepada para peserta di NFABD House.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Exco Persatuan Bola sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Kursus lima hari yang bermula pada 22 Ogos dikendalikan oleh Instruktor FIFA dari Uzbekistan, Islam Akhmedov.

Awang Rosdin dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa memandangkan kursus itu merupakan kali pertama diadakan di negara ini, maka sudah setentunya ia memberikan satu nilai tambah kepada peserta dari segi ilmu pengetahuan yang sangat berharga di dalam mengendalikan pasukan yang bertanding dalam Liga Belia Bawah 16 Tahun NFABD.

Menurutnya NFABD sangat berharap supaya kursus yang diadakan itu, sama ada secara teori mahupun amali, akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi mengangkat martabat Liga Belia Bawah 16 Tahun NFABD.

Awang Rosdin (duduk empat dari kiri) bersama instruktor dan peserta Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA.
Awang Rosdin (duduk empat dari kiri) bersama instruktor dan peserta Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA.

Beliau seterusnya memberikan saranan kepada peserta supaya membawa dan mengongsikan dapatan yang mereka perolehi daripada kursus itu bersama pihak pengurusan dan pasukan yang mereka bimbing.

“Ia akan memantapkan lagi persiapan dan persediaan dalam cara dan kaedah yang terbaik dalam mengendalikan bukan saja pemain Bawah 16 tahun yang merupakan aset penting untuk pembangunan bola sepak masa akan datang malah memantapkan lagi pengurusan kelab/pasukan berkenaan.” Jelasnya lanjut.

Awang Rosdin berharap kursus itu akan menjadi satu titik tolak permulaan kepada kursus-kursus yang lain ber-kaitan dalam usaha NFABD melalui Jabatan Pembangunan Bolasepak (FDD) NFABD yang diterajui oleh Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, yang sangat berpengalaman bersama pasukannya dalam memajukan sukan bola sepak di negara ini.

Hadir sama ke majlis itu ialah Exco NFABD, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid, Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali dan Jurulatih Kakitangan Kanan NFABD, Stephen Ng.

ARTIKEL YANG SAMA