Kursus Kejurulatihan latih kemahiran pemain

Kursus Kejurulatihan latih kemahiran pemain

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – NFABD melalui Jabatan Perkembangan Bolasepaknya buat pertama kalinya menganjurkan Kursus Kejurulatihan Pra-Musim FIFA bagi membantu para jurulatih Liga Super/Perdana Brunei DST 2016 membuat perancangan terperinci mengenai jadual latihan pasukan mereka sebelum bermulanya musim baru liga bolasepak tempatan.

Hadir menyempurnakan perasmian kursus lima hari yang bermula pada 17 hingga 21 Februari di NFABD House itu ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid.

Juga hadir ialah Pemangku Pengarah Teknikal NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali, Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Haji Budin, dan Jurulatih Kakitangan Kanan NFABD, Awang Stephen Ng.

Kursus yang dimudahcara oleh Instruktor FIFA dari Singapura, Sivaji Narayanan itu disertai seramai 23 orang jurulatih yang memiliki sekurang-kurangnya Sijil Kejurulatihan ‘C’ AFC yang akan menggalas tugas sebagai jurulatih kepada kelab-kelab bolasepak yang menyertai Liga Super DST dan Liga Perdana DST 2016 yang dijangka bermula awal Mac nanti.

Menurut Haji Mohd Noor dalam ucapan perasmiannya berkata penganjuran kursus berkenaan merupakan usaha berterusan NFABD dalam meningkatkan mutu kejurulatihan bolasepak di negara ini.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Pra-Musim FIFA bersama Instruktor FIFA (empat kiri), Haji Mohd Noor (tengah), pegawai dan EXCO NFABD.
Para peserta Kursus Kejurulatihan Pra-Musim FIFA bersama Instruktor FIFA (empat kiri), Haji Mohd Noor (tengah), pegawai dan EXCO NFABD.

Kursus berkenaan akan membantu para jurulatih untuk memperbaiki, meningkatkan dan melahirkan pemain yang mempunyai kemahiran dan mutu yang tinggi, berdisiplin dan mampu menghadapi saingan dengan pasukan yang lebih kuat, ujarnya lanjut.

Beliau menyatakan harapan supaya kursus itu akan dapat membantu para peserta untuk memperolehi kaedah, teknik dan taktik baru yang lebih berkesan untuk diguna pakai oleh para pemain dalam pasukan masing-masing.

Beliau juga menyeru semua jurulatih supaya akan sentiasa menjaga disiplin masing-masing ketika berada dalam satu-satu perlawanan dan menghindarkan serta mengawal diri daripada menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA