Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA

Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) dengan kerjasama dari FIFA kini giat menjalankan Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA, bagi mempertingkatkan lagi mutu Liga Bolasepak Belia di negara ini yang dianjurkannya.

Ia disertai seramai 30 orang terdiri daripada 20 orang ketua jurulatih dan penolong jurulatih pasukan yang menyertai Liga Belia Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD 2016 dan selebihnya lagi merupakan jurulatih bolasepak tempatan bukan daripada liga berkenaan.

Bermula hari ini dan akan berakhir pada 26 Ogos nanti, kursus yang dimudahcara oleh Instruktor FIFA dari Uzbekistan, Islam Akhmedov itu telah dibuka rasmi oleh ExCo NFABD, Awang Morni bin Haji Zakaria.

Di sepanjang kursus lima hari itu, para peserta akan belajar cara membuat persiapan dan mempersiap diri mereka sebagai jurulatih yang ingin terus berkembang maju bagi melengkapkan lagi diri mereka dalam menempuh cabaran liga belia.

Awang Morni dalam ucapannya menjelaskan tujuan kursus itu diadakan adalah untuk memastikan dan melengkapkan diri para peserta mengenai kaedah tepat memahami dan menangani pemain B-16 yang mereka latih serta memberikan pendedahan pengalaman yang lebih meluas lagi buat mereka.

Awang Morni (lima kiri) bersama pemudahcara dan peserta Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA.
Awang Morni (lima kiri) bersama pemudahcara dan peserta Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA.

“Mudah-mudahan dengan menyertai kursus ini para peserta dapat menterjemahkan kemahiran dan kepakaran mereka kepada pemain mereka supaya dapat melahirkan pemain muda yang berkemahiran tinggi dalam permainan bola sepak ini.” ujarnya.

Para peserta juga akan dapat membantu NFABD dalam mengenal pasti dan memilih pemain yang bagus dan cemerlang untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan belia NFABD di masa akan datang serta membolehkan pasukan belia negara bersaing sama tinggi dengan pasukan dari negara lain, tambahnya.

Beliau menyatakan harapannya supaya para peserta mengambil peluang itu untuk lebih komited dan memahami apa yang akan diajar dalam kursus itu kerana dengan kepakaran dan pengalaman yang ada pada pemudahcara kursus akan membolehkan para peserta memperoleh banyak ilmu dalam bidang kejurulatihan.

Awang Morni menyeru peserta supaya menggunakan peluang itu sebaik mungkin dalam menghadiri kursus dan bertanya jika tidak faham. Ambil peluang untuk bergaul dan berbincang dengan tenaga pengajar serta rakan-rakan supaya peserta dapat memahami kandungan kursus yang diajar nanti, tambahnya lagi.

“Sebagai jurulatih dan penolong jurulatih yang sudah pun menyumbangkan tenaga kepada pasukan masing-masing sudah setentunya ilmu yang diperolehi daripada menyertainya sebagai tambahan kepakaran kepada peserta masing-masing terutama terdapat tatacara atau teknik yang baru yang belum dipelajari sebelum ini.”

ARTIKEL YANG SAMA