Kursus olahraga kini dibuka

Kursus olahraga kini dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan, dan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Kokurikulum akan mengadakan Kursus Kejurulatihan Asas Olahraga dan Kursus Teknikal Asas Olahraga di kesemua daerah di negara ini.

Bagi Kursus Kejurulatihan Asas Olahraga akan terdapat beberapa peringkat berbeza sepanjang kursus tersebut di mana para peserta diperlukan untuk melalui lima fasa untuk menjayakan kursus itu sepenuhnya dan hanya 35 peserta terbaik sahaja dari seluruh daerah akan layak untuk meneruskan penyertaan dalam Sijil Sistem Pendidikan Asas Kejurulatihan Tahap 1, Persatuan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang akan dijalankan dalam Disember 2016 atau Januari tahun depan.

Kursus ini mengalu-alukan penyertaan daripada sasaran utama mereka iaitu guru-guru pendidikan jasmani sekolah-sekolah menengah, bekas-bekas atlet, namun dalam masa yang sama juga membukakan jemputan kepada orang awam yang berhasrat untuk mengambil peluang dalam faedah yang ditawarkan.

Menurut kenyataan di sini, penyertaan hanya terhad bagi 30 peserta terawal sahaja dari setiap daerah. Oleh itu, kursus hanya akan menampung jumlah penyertaan 120 orang sahaja setiap tahun dan bayaran $60 diperlukan bagi yuran pendaftaran sebelum tarikh tutup 4 Julai depan.

Sementara itu, bagi Kursus Teknikal Asas Olahraga pula hanya mengandungi tiga fasa, di mana pada fasa ketiga, para peserta akan berdepan ujian akhir untuk menamatkan kursus tersebut.

Bagaimanapun dalam kursus ini, program hanya akan dijalankan serentak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bagi pemohon-pemohon dari Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong, dan Kompleks Sukan Tutong bagi yang tinggal di kawasan Daerah Tutong dan Daerah Belait yang mana fasa pertama akan bermula pada 27 hingga 28 Julai, dan akan diteruskan lagi bagi fasa kedua dari 5 hingga 6 Oktober dan fasa terakhir pada 26 hingga 27 Oktober.

Bagi kursus ini juga, 35 peserta teratas akan layak untuk meneruskan kursus Sijil Sistem Pendidikan Teknikal Kejurulatihan Tahap 1 yang akan diadakan kira-kira bulan Disember atau Januari tahun depan.

Borang-borang boleh diperoleh dan dihantar di kesemua daerah di negara ini, di mana bagi Daerah Brunei dan Muara di No. 4, Bilik Persatuan Sukan Kebangsaan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah; Daerah Tutong di Unit Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Tutong; Daerah Belait di Unit Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Belait dan Daerah Temburong di Unit Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Temburong atau menghubungi terus Setiausaha Agung Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, Awang Shahjohan bin Haji Shari di talian 8839547.

ARTIKEL YANG SAMA