Kursus Pengadil Asas Kelas Tiga

Kursus Pengadil Asas Kelas Tiga

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), telah menganjurkan Kursus Pengadil Asas Kelas Tiga kali kelima yang berlangsung di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah baru-baru ini.

Hadir di kursus tersebut ialah Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran Dato Paduka Seri Lela Jasa Haji Abas.

Kursus yang berlangsung Jumaat lalu sehingga 14 Ogos itu diadakan pada setiap hari Jumaat dan Ahad yang telah disertai oleh lebih 10 orang bakal pengadil sepak takraw di negara ini.

Kursus ini merupakan projek PESTABARU yang bertujuan untuk menambah bilangan para pengadil-pengadil yang berkelayakan untuk diserapkan ke pengadil kebangsaan, pengadil kelas 1, 2 dan 3.

Pengiran Haji Ali Hassan semasa menyampaikan taklimat tersebut di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Pengiran Haji Ali Hassan semasa menyampaikan taklimat tersebut di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Selain itu juga, PESTABARU juga turut menggalakkan belia-belia yang berkecimpung dalam sukan sepak takraw untuk menampilkan diri sebagai pengadil sepak takraw di negara ini.

Kursus itu diisikan dengan pelbagai taklimat seperti sejarah permainan sepak takraw, etika, tugas dan tanggungjawab sebagai pengadil, pengurusan pertandingan, peraturan dan format pertandingan, undang-undang permainan sepak takraw dan hoop, taklimat mengenai dengan undang-undang permainan pantai dan juga permainan double.

Sejurus selesainya kursus itu para peserta akan menduduki ujian praktikal dan juga ujian bertulis.