Kursus pengadil futsal bermula

Kursus pengadil futsal bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Hari ini bermula Kursus Pengadil Futsal 2016 anjuran bersama NFABD dan Politeknik Brunei yang merupakan program pertama di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani kedua-dua pihak pada 23 November 2015 yang lalu.

Kursus yang hanya disertai oleh para pelajar Politeknik Brunei di Politeknik Brunei berkenaan dimudahcara oleh dua orang instruktor/pengadil futsal iaitu Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman dan Naib Yang Di-Pertua, AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Bakri bin Haji Bintang.

Di sepanjang kursus selama empat hari (7-9 & 11 Mac) berkenaan, para peserta akan melalui sesi teori Undang-Undang Permainan pada dua hari pertama kursus dan amali Undang-Undang Permainan pada hari ketiga kursus dan kemudiannya Ujian Kecergasan dan Ujian Bertulis di hari terakhir kursus.

Di bawah MoU berkenaan, NFABD akan menyumbangkan kepakaran dan sumber-sumbernya melalui program latihan bolasepak dan futsal di Politeknik Brunei dan program yang bermula hari ini berkenaan dirancang untuk ditawarkan pada setiap semester di samping pelbagai program berkaitan lain.

Program-program yang dirancang di bawah MoU berkenaan adalah termasuk dalam Modul Pengayaan di Pusat Pembangunan Pelajar dan Inovasi (CSDI), Politeknik Brunei yang merupakan modul wajib.

Awang Bakri ketika memudahcara Kursus Pengadil Futsal NFABD yang disertai pelajar Politeknik Brunei.
Awang Bakri ketika memudahcara Kursus Pengadil Futsal NFABD yang disertai pelajar Politeknik Brunei.

Menerusi modul berkenaan, para pelajar digalakkan untuk menyertai dan terlibat dalam pelbagai program kokurikulum dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran serta kecekapan yang akan memperkayakan kehidupan seharian mereka.

Modul berkenaan mempunyai empat program utama di dalamnya iaitu Pembangunan Kepimpinan, Pembangunan Individu, Pembangunan Ko-kurikulum & Penglibatan Sivik, dan Tanggungjawab Sosial (Kemasyarakatan).

Maka, sukan adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Kokurikulum yang menggalakkan para pelajar untuk menyertai program-program yang boleh mempertingkatkan kemahiran dan bakat mereka masing-masing.

Bagi pihak NFABD pula, kursus berkenaan akan dapat membantu menambah jumlah pengadil futsal tempatan yang aktif sekaligus mengelakkan masalah kekurangan pengadil futsal dalam mana-mana kejohanan tempatan yang ternyata sangat aktif dijalankan di sepanjang tahun sehingga hanya bulan Ramadhan ianya direhatkan.