Kursus pengadilan domestik labuh tirai

Kursus pengadilan domestik labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kursus Pengadilan Liga Remaja Domestik 2016 selama lima hari yang telah bermula pada 19 September lalu menutup tirai hari ini dengan majlis penyampaian sijil kepada 29 orang peserta dan tiga orang instruktor pengadil tempatan.

Hadir di NFABD House bagi menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, sambil diiringi pemudahcara kursus iaitu Pegawai Perkembangan Pengadilan FIFA, Mohamad Rodzali bin Yacob dari Malaysia.

Dalam ucapannya, Pengiran Mohd Amirrizal menyeru Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam supaya menyediakan segera perancangan jangka pendek, jangka panjang dan strategik serta Indeks Prestasi Utama (KPI).

Menurutnya itu adalah kerana dari pengamatannya mutu pengadilan di negara ini masih berada pada tahap sederhana dan mempunyai banyak ruang untuk pembaikan.

“Salah satu contoh ialah dengan mewujudkan peringkat-peringkat pengadil iaitu Pengadil Peringkat 1, Pengadil Peringkat 2, Pengadil Peringkat 3 atau seumpamanya,” ujarnya.

Pengiran Mohd Amirrizal ketika menyampaikan sijil kepada Awang Degat sambil disaksikan oleh Mohamad Rodzali (dua kanan) dan Haji Hamidon (kiri).
Pengiran Mohd Amirrizal ketika menyampaikan sijil kepada Awang Degat sambil disaksikan oleh Mohamad Rodzali (dua kanan) dan Haji Hamidon (kiri).

“Dengan adanya peringkat pengadilan ini, ia akan memudahkan usaha melahirkan lebih ramai pengadil dalam peringkat-peringkat tertentu dan seterusnya memudahkan untuk mengenalpasti kelompok mereka bagi mengadili satu-satu kejohanan.

“Sama ada bagi kejohanan peringkat remaja, liga veteran, kejohanan peringkat umur dan juga liga kebangsaan. Ini akan bermanfaat dalam pembentukan serta mengembangkan karier seorang pengadil,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan pengadil juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi diingatkan supaya jangan hanya disebabkan kesilapan daripada seorang atau dua pengadil menyebabkan semua pengadil dilabel sebagai lemah.

Menurutnya lagi, ramai yang tidak tahu tekanan pengadil kerana mereka hanya membuat keputusan melalui apa yang dilihat serta mempunyai satu atau beberapa saat sahaja untuk membuat keputusan.

“Pengadil perlu sentiasa jujur dalam melaksanakan tugas bagi memastikan sesuatu perlawanan dapat berlangsung dengan adil.

“Ini penting kerana ia merupakan satu amanah.”

Beliau kemudiannya menjelaskan ‘jujur’ yang beliau maksudkan adalah jika pengadil itu sedar dia melakukan kesilapan maka dia perlu segera memperbaiki kesilapan itu. Menurutnya pengadil sebegitu perlu diberikan pujian dan bukannya dikeji.

Turut hadir pada majlis penutup kursus berkenaan ialah Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali dan Pemangku Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Haji Hamidon bin Haji Matzin.

ARTIKEL YANG SAMA