Kursus Tarannum Al-Quran berakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 30 orang peserta telah mengikuti Kursus Tarannum Al-Quran yang berlangsung selama empat hari bermula 8 Januari lalu hingga hari ini di Dewan Mauizzah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie.

Sehubungan itu, majlis penutup kursus telah diadakan hari ini dan hadir selaku tetamu kehormat majlis seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Salleh yang juga merupakan pengerusi bersama Kursus Tarannum Al-Quran Tahun 1439H/2018M.

Dianjurkan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dengan kerjasama Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kursus berkenaan disertai oleh finalis Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2018; finalis Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Akhir Kebangsaan 2017; guru-guru Al-Quran Skim Tilawah Al-Quran Remaja, Jabatan Pengajian Islam dan peserta peringkat separuh akhir kebangsaan serta tenaga pengajar Al-Quran dari ITQSHHB.

Haji Abdul Rajid ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta pada majlis tersebut.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan hadiah penghargaan kepada pembimbing kursus berkenaan.

Kursus telah dikendalikan oleh Penyelia Tahfiz di Pejabat Yayasan Islam Kelantan, Ustaz Che Yahaya bin Daud.

Penganjuran kursus berkenaan merupakan salah satu inisiatif bagi meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan peserta agar dapat melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang berkebolehan pada masa yang akan datang.

Kursus tersebut merupakan salah satu projek di bawah Bahagian Kursus dan Latihan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS di samping menyahut hasrat Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah supaya didatangkan lebih ramai pakar Al-Quran secara bergilir dalam tempoh masa yang tertentu agar peserta-peserta qari dan qariah dapat menimba pengalaman daripada pakar-pakar berkenaan.