Kutipan derma NGO ‘tidak mustahil’ didalangi Daesh

Kutipan derma NGO ‘tidak mustahil’ didalangi Daesh

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Aktiviti kutipan derma oleh badan bukan kerajaan (NGO) tidak diiktiraf yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, tidak mustahil didalangi kumpulan militan Daesh yang bertujuan mengutip dana bagi menampung aktiviti mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata dana yang dikumpul itu dipercayai digunakan untuk menyebarkan ideologi dan propaganda mereka, selain membiayai kegiatan Daesh di Syria.

“Kemungkinan dana yang dikumpul mereka (NGO yang tidak diketahui asal-usulnya) ada disalurkan di sana (Syria) dan ia perlu ditapis berikutan terdapat beberapa kes sedemikian sebelum ini. “Mereka yang ingin mengutip derma untuk tujuan kemanusiaan perlulah berdaftar dan diiktiraf terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kutipan derma,” katanya dalam temubual eksklusif kepada Bernama.

Beliau turut mengingatkan rakyat negara ini yang sememangnya ‘pemurah’, agar memberi sumbangan atau derma mengikut saluran yang betul dan rasmi. “Saya menyarankan rakyat negara ini agar memberi derma kepada NGO yang diiktiraf sahaja dan dinasihatkan tidak memberi derma kepada NGO yang tidak diketahui asal-usulnya,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA