Kutuk tindakan ganas

Kutuk tindakan ganas

FORT SAINT ANGELO, Vittoriosa, Republik Malta, 29 Nov – Serangan yang berlaku baru-baru ini di Perancis, Lebanon dan Mali telah meningkatkan suasana rasa takut dalam kalangan orang ramai.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengutuk sepenuhnya tindakan-tindakan ganas tersebut yang telah mengancam asas keselamatan, cara hidup dan memusnahkan banyak harapan dan impian.

Ini dinyatakan dalam sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen selaku wakil peribadi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Sesi Retreat I dan II bagi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang berlangsung di Fort Saint Angelo, Vittoriosa, Republik Malta.

Semasa Sesi Retreat I, para pemimpin membincangkan perkembangan dan cabaran dunia global, khususnya keganasan yang extremis dan radikalisasi.

Pada Sesi Retreat ini, Yang Teramat Mulia telah bersabda dengan mula-mula menyampaikan salam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Perdana Menteri Republik Malta, Tuan Yang Terutama Dr. Joseph Muscat, selaku Pengerusi Mesyuarat CHOGM 2015, dan rakan-rakan sejawat.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat menghadiri perjumpaan empat mata bersama Perdana Menteri Republik Malta, TYT Dr. Joseph Muscat di Fort Saint Angelo, Vittoriosa, Republik Malta, kelmarin. - Infofoto
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat menghadiri perjumpaan empat mata bersama Perdana Menteri Republik Malta, TYT Dr. Joseph Muscat di Fort Saint Angelo, Vittoriosa, Republik Malta, kelmarin. – Infofoto

pg01_151130_logo

pg05_151130_e

YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen berangkat masuk bersama Perdana Menteri Malta, Muscat bagi acara perjumpaan dua mata
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat masuk bersama Perdana Menteri Malta, Muscat bagi acara perjumpaan dua mata

Antara isi kandungan sabda Yang Teramat Mulia ialah mengenai masalah kompleks yang berpunca daripada ancaman-ancaman radikalisasi, keganasan yang ekstremis dan pengganasan.

Yang Teramat Mulia dalam sabdanya juga menegaskan bahawa ancaman-ancaman tersebut tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana agama, bangsa, kaum atau etnik.

Yang Teramat Mulia turut menekankan, pengukuhan langkah-langkah keselamatan, kerjasama di bidang perisikan dan perkongsian amalan-amalan terbaik adalah penting dalam menangani ancaman-ancaman yang dimaksudkan.

Yang Teramat Mulia juga berpendapat bahawa penyelesaian jangka yang lebih panjang harus tertumpu kepada punca-punca asas secara komprehensif dalam semua peringkat.

Akhir sekali, turut ditekankan ialah penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam beberapa dialog kelainan agama serta mengusahakan projek-projek yang menggalakkan toleransi dan persefahaman dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam akan terus berbuat demikian serta mendokong pelbagai usaha Komanwel dan inisiatif-inisiatif yang dipimpin oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani perkara ini.

Sesi Retreat ini diikuti dengan Majlis Santap Tengah Hari dan Sesi Retreat II bagi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Sesi Retreat II

Yang Teramat Mulia seterusnya menghadiri Sesi Retreat II di mana perbincangan menumpukan kepada penghijrahan manusia; dan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals – SDGs). Pada Sesi Retreat ini, Yang Teramat Mulia telah menyampaikan sabda, yang antara kandungannya menyentuh mengenai pergerakan manusia yang tidak teratur merupakan satu isu sukar dan sensitif yang telah menyebabkan masalah kemanusiaan pada peringkat global.

Salah satu penekanan yang dibuat ialah mengenai masalah kompleks yang sama sedang dihadapi oleh rantau ASEAN, dan juga seterusnya bagaimana Negara Brunei Darussalam sedang bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain bagi menangani isu tersebut.

Menyentuh tentang SDGs, Yang Teramat Mulia juga mengetengahkan langkah-langkah yang diambil oleh Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai SDGs melalui agenda yang mesra rakyat, inklusif dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam telah mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan bahawa pelan kebangsaan adalah selaras dengan sasaran SDGs.

Langkah-langkah awal termasuk penghijauan ekonomi, alam sekitar yang mapan dan peluang pekerjaan yang lebih besar.

Akhirnya, Yang Teramat Mulia menegaskan betapa pentingnya bagi Negara Brunei Darussalam meningkatkan jalinan kerjasama antara semua pihak-pihak berkepentingan, terutama melalui pembinaan keupayaan dan perkongsian amalan-amalan terbaik.

Perjumpaan dua hala

Seterusnya, Yang Teramat Mulia mengadakan perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Republik Malta, Tuan Yang Terutama Dr. Joseph Muscat. Semasa perjumpaan dua hala ini, Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan usaha bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Malta.

Mengiringi Yang Teramat Mulia ke perjumpaan dua hala berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

ARTIKEL YANG SAMA