Kuwait laksana ujian DNA mandatori

Kuwait laksana ujian DNA mandatori

BANDAR KUWAIT, 2 Julai – Parlimen Kuwait, yang bertindak balas terhadap pengeboman bunuh diri minggu lalu yang mengorbankan 26 orang, telah menggubal undang-undang semalam yang memerlukan ujian DNA mandatori ke atas semua warganegara dan penduduk warga asing.

Di bawah undang-undang itu orang ramai yang enggan memberi sampel bagi ujian berdepan hukuman penjara setahun dan denda sehingga AS$33,000. Mereka yang memberikan sampel palsu boleh dipenjarakan selama tujuh tahun.

Parlimen juga meluluskan AS$440 juta pembiayaan kecemasan bagi perbelanjaan yang diperlukan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen bebas Jamal al-Omar berkata “Kami telah meluluskan undang-undang ujian DNA dan meluluskan pembiayaan tambahan.

“Kami bersedia meluluskan apa saja yang diperlukan untuk meningkatkan langkah keselamatan di negara ini.”

Perdana Menteri Kuwait Sheikh Jaber al-Mubarak al-Sabah (kanan) dan Speaker Parlimen Kuwait Marzouq al-Ghanim melambaikan tangan kepada para wartawan ketika meninggalkan perhimpunan kebangsaan di Bandar Kuwait selepas sesi Parlimen pada 1 Julai 2015. – AFP
Perdana Menteri Kuwait Sheikh Jaber al-Mubarak al-Sabah (kanan) dan Speaker Parlimen Kuwait Marzouq al-Ghanim melambaikan tangan kepada para wartawan ketika meninggalkan perhimpunan kebangsaan di Bandar Kuwait selepas sesi Parlimen pada 1 Julai 2015. – AFP

Seorang pengebom bunuh diri telah meletupkan dirinya sendiri ketika solat Jumaat minggu lalu di sebuah masjid Syiah di ibu negara, juga mencederakan 27 orang, dalam serangan yang mana Kumpulan Kerajaan Islam mengaku melakukannya.

Gabungan IS di Arab Saudi, di wilayah Najd, mengaku menjadi dalang pengeboman tersebut dan mendedahkan identiti penyerang sebagai Abu Suleiman al-Muwahid. Pihak berkuasa Kuwait berkata nama sebenarnya ialah Fand Suleiman Abdulmohsen al-Qabaa, sambil berkata beliau adalah kelahiran Arab Saudi pada 1992.

Menteri Luar Negara Sheikh Mohammad Khaled al-Sabah memberitahu Parlimen Selasa lalu bahawa agensi-agensi keselamatan telah menyerbu ‘kumpulan kecil ‘ yang menjadi dalang pengeboman berkenaan.

“Kami dalam keadaan peperangan. Ya, kami telah menyerbu kumpulan kecil pengganas ini, tetapi terdapat kumpulan kecil lain yang akan kami serang,” kata Sheikh Mohammad.