Kuwait panggil pulang duta di Iran

Kuwait panggil pulang duta di Iran

RIYADH, 6 Jan (AFP) – Krisis diplomatik yang melingkari Arab Saudi dan Iran semakin meluas hari ini dengan Kuwait memanggil pulang dutanya di Tehran berikutan peningkatan kebimbangan antarabangsa.

Menyertai Arab Saudi dan sekutu Arab Sunnah lain dalam mengambil tindakan diplomatik itu, Kuwait menyatakan ia menarik balik wakilnya berikutan serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Tehran.

Tindakan Kuwait itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan yang dilakukan penunjuk perasaan yang berang atas tindakan Arab Saudi melaksanakan hukuman mati seorang ulama Syiah terkenal.

Ketegangan antara Arab Saudi, kuasa utama Sunnah, dan Iran yang dikuasai Syiah, meletus minggu ini kepada krisis diplomatik, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung ketidakstabilan serantau.

Iran hari ini sekali lagi menyelar tindakan Arab Saudi melaksanakan hukuman mati itu dengan Presiden Hassan Rouhani menuduh Riyadh mahu ‘menutup jenayahnya’ dengan memutuskan hubungan.

“Seseorang tidak bertindak balas terhadap kritikan dengan memenggal kepala,” kata Rouhani, merujuk amalan biasa Arab Saudi menjalankan hukuman mati dengan memancung menggunakan pedang.

Washington dan kuasa Barat lain menggesa semua pihak bertenang ketika kebimbangan pertelingkahan itu mungkin meningkatkan ketegangan mazhab di seluruh Asia Barat dan menggagalkan usaha menyelesaikan konflik dari Syria ke Yaman.

Majlis Keselamatan PBB lewat semalam mengeluarkan kenyataan menggesa semua pihak ‘mengambil langkah mengurangkan ketegangan di rantau itu.’

Kenyataan majlis 15 anggota itu mengutuk ‘sekeras-kerasnya’ serangan yang menyaksikan penunjuk perasaan membaling bom api ke arah Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulatnya di bandaraya kedua terbesar Iran, Masshad.

ARTIKEL YANG SAMA