Kuwait tangkap 10 warga Iran dituduh cabul sempadan

Kuwait tangkap 10 warga Iran dituduh cabul sempadan

BANDAR KUWAIT, 14 Ogos – Kementerian Dalam Negeri Kuwait berkata hari ini, pengawal pantainya telah menahan 10 ‘penyeludup’ Iran yang cuba untuk masuk ke negara itu secara haram.

Bagaimanapun pegawai Iran, menyifatkan mereka sebagai nelayan yang tahanan mereka bukan berkaitan dengan sebarang pencabulan sempadan.

Salah seorang lelaki Iran mengalami kecederaan selepas ingkar dengan arahan pengawal pantai untuk menyerah diri, kata kementerian dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Kuwait milik kerajaan.

Kementerian Dalam negeri menyiarkan gambar dalam laman webnya menunjukkan sembilan daripada lelaki itu duduk dengan tangan mereka digari di belakang.

Penangkapan itu sepertinya mencetuskan lebih banyak tuduhan dari negara-negara Teluk Arab ke atas campur tangan Iran dalam hal ehwal mereka.

Agensi berita separa rasmi Iran, Fars memetik timbalan ketua pengawal pantai wilayah Bushehr, Ali Hajatpour di selatan Iran, sebagai berkata bahawa beberapa nelayan Iran telah ditahan di Kuwait kerana satu ‘pertikaian’.

Dia dipetik pada Sabtu sebagai berkata pertikaian itu berlaku di tanah Kuwait dan ‘penahanan mereka tidak berkaitan dengan pencabulan sempadan’. – AP