Kvitova tersingkir, Federer, Murray mara

Kvitova tersingkir, Federer, Murray mara

LONDON, 5 Julai (AFP) – Juara bertahan yang juga pemain pilihan kedua, Petra Kvitova tersingkir daripada kejohanan Wimbledon, manakala Roger Federer dan Andy Murray dikerah ke permainan empat set sebelum mara ke pusingan seterusnya.

Bintang Republik Czech, Kvitova yang menang kejuaraan Wimbledon pada tahun 2011, tewas 3-6, 7-5, 6-4 kepada pemain veteran, Jelena Jankovic. Jenela yang juga naib juara pada 2012 akan bertemu Agnieszka Radwanska pada suku akhir.

Ini adalah penyingkiran paling awal buat Kvitova pada kejohanan All England Club itu sejak 2009 dengan menyaksikan hanya Serena Williams, Maria Sharapova, Caroline Wozniacki dan Lucie Safarova masih bertahan untuk ke pusingan seterusnya.

“Saya tidak tahu apa boleh diperkatakan. Saya amat teruja dan saat ini pun jantung saya masih berdebar,” kata Jankovic, 30. “Ia bukannya sesuatu yang hebat apabila kalah di pusingan ketiga. Saya gagal melangkah ke minggu kedua pada kejohanan yang sentiasa menjadi kegemaran saya..ia amat menyedihkan,” kata Kvitova.

Sementara itu juara tujuh kali, Federer menumpaskan pemain servis kuat, dari Australia, Sam Groth 6-4, 6-4, 6-7 (5/7), 6-2. Pemain berusia 33 dari Switzerland itu kini mengejar kejuaraan major ke-18, akan bertemu pemain Sepanyol Roberto Bautista Agut yang juga pemain pilihan ke-20. Groth merakam servis kedua paling laju pada kejohanan kali ini iaitu 236.9 kilometer sejam. Murray pula terselamat selepas kecederaan bahu menimpanya dengan menang 6-2, 6-2, 1-6, 6-1 ke atas pemain Itali, Andreas Seppi.

Murray, juara Wimbledon 2013 terpaksa mendapatkan khidmat pegawai perubatan kejohanan selepas sakit pada bahu kanannya selepas tewas set ketiga.

Kemenangan itu menyaksikan Murray akan bertembung dengan pemain Croatia, Ivo Karlovic esok pada suku akhir.