Kvyat harap dapat menyerlah di GP Rusia

Kvyat harap dapat menyerlah di GP Rusia

SOCHI, Russia, 28 April – Pemandu pasukan Red Bull, Daniil Kvyat berharap menemui kepantasan untuk menggembirakan penyokong tempatan dan memberi ancaman menamatkan permulaan kemenangan Nico Rosberg musim ini pada saingan pusingan ketiga Grand Prix (GP)Rusia di Sochi Autodrom, di sini, hujung minggu ini.

Pemandu Rusia itu percaya pasukannya sudah menemui prestasi untuk memberikan cabaran buat Mercedes dan Ferrari selepas musim mengecewakan pada 2015. Dan dia mahu membuktikan potensi dalam saingan di litar dekat resort Laut Hitam itu.

“Saya tidak mahu meramalkannya, tapi tampak kerangka kami kuat dan bagus,” katanya.

“Dan siapa tahu? Maksud saya semuanya boleh berlaku.

“Tahun lalu, walaupun sedikit masalah, kami tampak sangat kompetitif di Monaco, namun tahun ini mungkin kami akan jadi lebih kompetitif.

Daniil Kvyat dalam satu sidang media menjelang GP Rusia hujung minggu ini. - AP
Daniil Kvyat dalam satu sidang media menjelang GP Rusia hujung minggu ini. – AP

“Kami tidak tahu ke mana ia akan membawa kami, tapi ada peluang yang bagus mula tiba…” Kvyat menamatkan kedudukan di tangga ketiga GP China pada 17 April di belakang juara Rosberg dari Mercedes dan rakan senegara dari Jerman, Sebastian Vettel yang memandu Ferrari. – AFP