Kwesi, rakan prihatin warga emas

Kwesi, rakan prihatin warga emas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Okt – Rumah Orang-Orang Tua di pekan ini, sering mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat dengan hasrat agar dapat membahagiakan para penghuninya yang tidak mempunyai keluarga terdekat di sini.

Kira-kira 10 warga emas yang menjadi penghuni setia di sini, tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan, pelajar-pelajar dan sebagainya yang telah menghulurkan pelbagai sumbangan yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.

Turut tidak ketinggalan menyumbangkan khidmat sukarelawan mereka ialah sekumpulan rakan sekerja yang berkhidmat dengan Tentera British Brunei Garison Seria, yang berkunjung ke rumah kediaman warga emas tersebut setiap minggu untuk melakukan aktiviti berkebajikan seperti membersihkan, mengemas dan sebagainya.

Kwesi, 33, salah seorang daripada sukarelawan berkenaan ketika ditemu bual Media Permata, memberitahu, disebabkan mereka kadangkala mempunyai banyak masa terluang, oleh itu mereka bercadang untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan boleh membantu masyarakat di sini.

“Saya telah diperkenalkan kepada ketua pegawai sukarelawan di rumah orang-orang tua di sini iaitu Dayang Sophia oleh kawan-kawan saya, dan sejak itu kami sering datang untuk memberikan bantuan fizikal dengan membersihkan kawasan dalam dan luar bangunan rumah.

Kwesi ketika melakukan kerja amal kawasan luar dan dalam bangunan Rumah Orang-Orang Tua di Seria.
Kwesi ketika melakukan kerja amal kawasan luar dan dalam bangunan Rumah Orang-Orang Tua di Seria.

“Kami yang bekerja secara berkumpulan seramai lima orang bukan saja membersihkan jendela, dapur serta bilik-bilik kosong, tetapi juga membuang sampah, memotong rumput dan sebagainya,” kata Kwesi.

Menurutnya lagi, kerja-kerja sukarela berkenaan dilakukan ketika hujung minggu, dan waktu lapang selepas bertugas yang akan dilakukan kira-kira dua hingga tiga jam.

Kwesi juga memberitahu, dia begitu terpegun melihat begitu ramai kalangan masyarakat di negara ini yang berhati emas kerana sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Mengunjungi dan menghulurkan sumbangan kepada penghuni di rumah orang-orang tua ini, juga satu tanggungjawab berkebajikan yang patut diteruskan kerana ia boleh membantu membahagiakan mereka, lebih-lebih lagi mereka tiada mempunyai saudara mara atau ahli keluarga yang terdekat untuk mengadu nasib dan kesusahan yang ditanggung,” ujarnya lagi.

Kwesi sudah berkhidmat dengan Tentera British selama enam tahun dan sudah berada di negara ini selama 16 bulan.

Dia dan kawan-kawannya merasakan kepuasan yang cukup membahagiakan apabila dapat menghulurkan bantuan secara fizikal kepada warga emas yang tinggal di rumah orang-orang tua di pekan ini.

Sementara itu Dayang Sophia, yang merupakan pegawai sukarelawan yang sudah lama berkhidmat di rumah tersebut memberitahu, dengan adanya bantuan yang diberikan oleh Kwesi dan rakan-rakannya sedikit sebanyak dapat meringankan kerja mereka dalam memelihara keadaan kebersihan dan keselamatan di rumah itu, dan beliau juga merakamkan penghargaan serta terima kasih atas semua bantuan yang telah dihulurkan kepada mereka selama ini oleh semua pihak yang pernah terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA