KWSP tinjau lokasi pelaburan baharu

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meninjau peluang pengembangan ke pasaran Amerika Latin sebagai usaha meningkatkan portfolio aset globalnya kepada 32 peratus tahun ini berbanding 28 peratus pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata peningkatan dalam portfolio aset di luar negara akan memberikan KWSP kepelbagaian dan pulangan bagi memenuhi jangkaan pencarum.

“Seperti mana dana pencen lain di seluruh dunia, kami perlu mempunyai portfolio seimbang dan meningkatkan pendedahan sebanyak mungkin bagi pertumbuhan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita pada taklimat berhubung dividen 2017 KWSP di sini, hari ini.

Datuk Shahril Ridza Ridzuan ketika berucap pada taklimat media berkenaan Dividen KWSP 2017 Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah di Bangunan KWSP hari ini. – Bernama

Katanya, pelaburan di luar negara turut memberikan pulangan yang tinggi, menyumbang sebanyak 41.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan, walaupun ia hanya 28 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan tahun lalu.

“Carta sejarah kami menunjukkan bahawa aset global memberikan kepelbagaian yang diperlukan serta pendedahan untuk pertumbuhan, yang mana ia penting untuk KWSP terus menjalankan tanggungjawabnya dan memberikan pulangan yang baik yang diharapkan pencarum,” katanya.

Katanya, dengan mempelbagaikan ke pasaran luar negara, membantu KWSP menyediakan ganjaran jika berlaku penurunan pada mana-mana pasaran pelaburannya dan juga untuk terus berkembang. – Bernama