KWSP umum dividen 6.40 peratus bagi 2015

KWSP umum dividen 6.40 peratus bagi 2015

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari Sabtu mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus bagi 2015 dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.

Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014, katanya dalam satu kenyataan.

Peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion setakat 31 Dis 2015 manakala pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding RM39.08 bilion pada 2014.

“Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas aset di beberapa negara dan pasaran.

“Walaupun kolerasi dalam kalangan pasaran-pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenal pasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran menarik,” kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.

Beliau berkata langkah kepelbagaian dalam pasaran modal dan mata wang membolehkan KWSP mengaut pulangan signifikan daripada sumber bukan ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun berkenaan.

“Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa bertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek, dan kami berbesar hati mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi membanggakan sekalipun berdepan cabaran,” katanya.

Lebih penting lagi katanya, KWSP berupaya mencapai dua sasaran pelaburan strategik iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal setiap tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991, dan sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut.