La Kaffa buka...

La Kaffa buka operasi serantau di Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Syarikat rantaian makanan dan minuman Taiwan, La Kaffa International Co Ltd merancang untuk memperluaskan perniagaan di rantau ASEAN dengan pembukaan pusat operasi serantau di Malaysia.

La Kaffa merupakan syarikat induk bagi jenama teh susu ‘bubble’ popular, Chatime.

Pengerusi La Kaffa, Henry Wang berkata, pusat operasi itu dijangka dibuka pada suku pertama 2017.

“Malaysia merupakan destinasi terbaik bagi pelan perluasan La Kaffa memandangkan ekonominya pesat berkembang dan pertumbuhan penggunaan, ditambah dengan penerimaan tinggi bagi makanan Taiwan.

“Saya yakin jenama makanan baharu yang akan diperkenalkan kepada pasaran Malaysia akan diberi sambutan baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, produk terbaru La Kaffa, ‘Duan Chunzhen Beef Noodle’, dijadual memasuki pasaran tempatan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

“Kami turut bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia yang mencari peluang di Taiwan,” katanya.

Syarikat itu turut mengumumkan pembatalan kontrak francaisor induk Chatime, LOOB Holdings Sdn Bhd, berikutan percanggahan hala tuju operasi perniagaan.

Wang berkata, La Kaffa akan mengambil alih operasi perniagaan Chatime di Malaysia dan memberi jaminan bahawa penerima francais akan terus memperoleh sokongan syarikat itu.

La Kaffa, yang menguruskan jenama makanan dan minuman, seperti La Kaffa Coffee, ZENQ, Bake Code, Wagokoro Tonkatsu Anzu Giza dan Osaka Ohsho Gyoza, mempunyai operasi di lebih 30 negara seluruh dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA