LA masih rindu Gerrard, Keane

LA masih rindu Gerrard, Keane

CARSON, AS, 10 Nov – Jurulatih Los Angeles Galaxy Bruce Arena pada Rabu berkata, beliau berharap Steven Gerrard (gambar) boleh dipujuk untuk melanjutkan kerjayanya di Major League Soccer (MLS) ketika bekas kapten England itu dilaporkan cuba berjinak-jinak dengan peranan sebagai jurulatih atau bermain semula di Britain.

Gerrard tamat kontrak dengan Galaxy selepas musimnya bersama Los Angeles selesai hujung minggu lalu dengan play-off MLS.

Pemain berusia 36 tahun itu telah dikaitkan dengan kepulangan ke Liverpool dalam peranan kejurulatihan manakala laporan lain di Britain pula mencadangkan dia boleh terdorong untuk meluaskan kerjayanya bersama Celtic.

Arena berkata tiada keputusan mengenai masa depan MLS Gerrard tetapi beliau berharap midfield dan penyerang Ireland Robbie Keane yang juga tamat kontrak, mungkin akan kekal bersama Galaxy.

“Kami berbesar hati ada Stevie bersama Robbie di sini dan berharap mereka terus menjadi sebahagian daripada kelab tetapi hanya masa akan menentukan,” Arena memberitahu pemberita sambil menambah beliau tidak membincangkan rancangan masa depan dengan kedua-dua pemain itu.

“Saya tidak pernah bercakap dengan mereka. Kami perlu membiarkan mereka mempunyai masa untuk mengulas mengenai apa yang mereka mahu lakukan pada masa depan dan bukan saya mengulasnya sekarang,” Arena memberitahu AFP.

“Musim baru berakhir. Kita perlu sedikit masa untuk berfikir. Saya yakin Stevie dan Robbie akan membincangkan masa depan mereka pada waktu yang sesuai.”

Arena semasa memberikan penghormatan kepada kedua-dua pemain itu di atas sumbangan mereka kepada kelab, memuji Gerrard kerana berjaya menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan kepada Colorado selepas berehat panjang akibat kecederaan.

“Jika Ahad tadi adalah perlawanan terakhirnya, untuk selesai dengan cara dia menyempurnakan sepakan itu dan 45 minit bermain selepas rehat hampir dua bulan, adalah sesuatu yang menarik,” kata Arena.

“Dengan Robbie Keane, hanya beberapa pemain yang berjaya menyumbang seperti Robbie,” katanya.

“Enam tahun yang luar biasa, tiga kejohanan, lebih 100 gol. Anda tidak selalu melihat rentak itu dari seorang pemain antarabangsa.” – AFP