Labuan boleh menjadi pangkalan sokongan logistik pelbagai guna

Labuan boleh menjadi pangkalan sokongan logistik pelbagai guna

LABUAN, 24 Nov – Labuan perlu berubah daripada bergantung pada industri minyak dan gas (O&G) kepada pangkalan sokongan logistik pelbagai guna. Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) Datuk Harris Annuar Tan berkata iklim ekonomi yang berubah di Labuan memerlukan penggiat industri mencari perubahan dan kepelbagaian, insentif dan dasar baharu.

“Pembolehubah yang akan dibincangkan termasuk aliran sektor pelabuhan, teknologi maklumat, integrasi model pengangkutan, pengurusan kualiti, peraturan-peraturan negeri dan sebagainya,” katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Persidangan Perniagaan Asia (ABC) 2016 di sini.

Asian Supply Base merupakan cabang pelaburan kerajaan negeri Sabah yang dikenali sebagai hab logistik sehenti bagi industri minyak dan gas Labuan.

Harris berkata adalah penting bagi penggiat industri mengubah cara pemikiran ke arah global serta dapat meneroka potensi baharu.

“Kita perlu mencari perubahan yang inovatif dan melengkapkan diri dengan pendekatan strategik,” katanya.

Datuk Harris Annuar Tan (kanan) berbincang bersama delegasi persidangan, Johari Abidin semasa Persidangan Perniagaan Asia di Hotel Dorsett Grand Labuan, baru-baru ini. – Bernama
Datuk Harris Annuar Tan (kanan) berbincang bersama delegasi persidangan, Johari Abidin semasa Persidangan Perniagaan Asia di Hotel Dorsett Grand Labuan, baru-baru ini. – Bernama

Beliau juga menekankan keperluan dasar, sokongan kerajaan dan tadbir urus, tanda aras, pasukan khusus dan berinovasi.

“Labuan telah menjadi pusat perdagangan utama, sebuah pangkalan tentera dan pelabuhan bebas cukai sejak British mengambil alih 170 tahun yang lalu.

“Kedudukan strategik, pelabuhan yang baik serta mineral di pesisir dan luar pesisir, telah meningkatkan peranannya menjadi pelabuhan persinggahan dan pusat pengedaran penting di rantau ini.

“Banyak perubahan geopolitik dan ekonomi. Pada hari ini, sektor minyak dan gas masih berkembang, walaupun keadaan agak mencabar, masih menjadi pemacu ekonomi utama tempatan.

“Bagaimanapun, faktor-faktor globalisasi, geopolitik, ekonomi, persaingan dan teknologi, antara lain, memerlukan suntikan idea-idea baharu, kepakaran pengurusan dan kepimpinan yang cekap bagi mengekalkan perkembangan serta mengatasi pelbagai cabaran,” katanya.

Harris berkata memandangkan Labuan mempunyai pelbagai kelebihan, adalah penting bagi mereka yang berkuasa dan penggiat utama dalam industri memastikan pulau itu berkembang menjadi hab pengedaran dan perdagangan bersepadu di rantau ini.

Beliau berkata Labuan berpotensi sebagai destinasi ekonomi yang cergas memandangkan lokasinya yang strategik dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA), selain disokong oleh kemudahan perindustrian, pelaburan, dan insentif perniagaan serta perkhidmatan kewangan.

“Semua faktor-faktor ini akan menjadikan Labuan sebagai platform yang strategik bagi menghubungkan Asia Pasifik.

“Ia merupakan lokasi ideal untuk mengakses ke banyak pasaran di rantau Asia Pasifik dengan undang-undang cukai pendapatan yang dikawal selia dengan baik, dan sebagai pulau bebas cukai.

“Ia juga mempunyai ekonomi yang kukuh, menawarkan kos operasi yang rendah untuk penggiat industri, pendaftaran kapal di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) manakala dana luar pesisir akan membantu Labuan menjadikan destinasi pelaburan lebih menarik,” kata Harris.

Beliau menggariskan beberapa faktor utama untuk pencapaian optimum dalam perkembangan ekonomi Labuan termasuk pendekatan teknologi dengan meningkatkan pemahaman berkaitan dengan pelbagai rakan kongsi, produk dan teknologi serta menggunakan perkakasan teknologi yang betul.

“Untuk membangunkan masa depan Labuan, kita perlu terus menggalakkan aktiviti perdagangan, meningkatkan aktiviti ekonomi, di samping mewujudkan inisiatif untuk menambah baik dan menaik taraf kemudahan sedia ada. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA