Labuan dilanda ribut kencang

LABUAN, 11 Sept – Angin kencang yang membadai Labuan dari malam Ahad hingga awal pagi ini menyaksikan bumbung rumah diterbangkan ribut yang turut merosakkan rumah dan menumbangkan pokok.

Sekurang-kurang bumbung dua buah rumah di Kampung Bebuloh di sini diterbangkan angin kencang serta mengalami kerosakan teruk.

Menurut Ketua Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Kawasan Parlimen Labuan, Basran Yunus, tiada kehilangang nyawa dilaporkan.

“Kami telah menerima laporan jumlah rumah yang terjejas. Kami juga telah menentukan bantuan bersesuaian untuk mereka termasuk bahan bagi membaiki rumah masing-masing yang akan diserahkan pada kadar segera,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan pula dilaporkan menerima beberapa panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa batang jalan. – Bernama