Labuan diusul hab pelabuhan

Labuan diusul hab pelabuhan

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) – Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan Wilayah Persekutuan Labuan dijadikan sebagai hab pelabuhan bagi memacu ekonomi wilayah itu termasuk Sabah dan Sarawak.

Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) berkata langkah itu berupaya menjana pertumbuhan ekonomi melalui peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan di pintu masuk Sabah dan Sarawak itu seperti mana pembangunan yang dirancakkan di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Labuan memang sesuai dijadikan sebagai pelabuhan kerana wilayah ini mempunyai pelabuhan dalam yang semula jadi, oleh itu sepatutnya Labuan perlu dijadikan antara hab pelabuhan selain dari Pelabuhan Klang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Rozman juga mahu Labuan dijadikan sebagai hab pendidikan Universiti Awam (UA) seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka cawangan kampus di Labuan.

Katanya langkah ini akan menjadikan Labuan sebagai lokasi integrasi nasional dan juga tempat pertemuan generasi baharu yang bakal mencorakkan masa hadapan negara.

Rozman melahirkan rasa kesal kerana Labuan yang menjadi Wilayah Persekutuan sejak 1984 tidak menerima pembangunan seperti yang diterima Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, selain menganggap kerajaan seperti ‘terlepas pandang’ mengenai Labuan.

“Labuan ini tidaklah sebegitu besar, sepatutnya boleh dibangunkan secukupnya dan sepatutnya ia merupakan tempat yang diiktiraf dengan lebih istimewa sebab ia adalah tanah yang dimiliki semua negeri di Malaysia.

“Sebagai contoh pelancongan di Labuan ‘ciput’ (sedikit) sahaja jauh berbeza dengan Pulau Langkawi, padahal Labuan pun semuanya ada, Langkawi hanyalah milik Kedah tapi Labuan milik seluruh Malaysia,” katanya.

Rozman turut menggesa supaya lebih banyak peruntukan diberi kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya agenda pembangunan turut dinikmati di Labuan.

Cadangan itu disokong Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang menyatakan pembangunan yang strategik perlu dilaksanakan di Labuan bagi membawa perubahan ekonomi Sabah dan Sarawak.

“Memang diakui ada perubahan sejak menjadi wilayah persekutuan, namun usaha untuk membangunkan wilayah itu perlu dikuatkan lagi supaya ia menjadi satu kawasan yang setanding dengan wilayah yang lain,” katanya.