Labuan IBFC diiktiraf

Labuan IBFC diiktiraf

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) meraih pengiktirafan sebagai penyedia pengurusan kekayaan Islam utama dalam kajian dilaksanakan oleh Edbiz Consulting berpangkalan di London.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, Labuan IBFC berkata hampir 55 peratus daripada lebih 10,000 responden global mengiktirafnya sebagai penyedia pengurusan kekayaan Islam yang utama.

“Malaysia diiktiraf sebagai antara bidang kuasa paling maju dalam perkhidmatan kewangan Islam, mempunyai rangka kerja kawal selia yang komprehensif untuk perbankan Islam, kewangan, takaful dan pengurusan aset,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC, Danial Mah Abdullah.

“Lanjutan daripada itu, Labuan, sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia adalah pilihan yang sesuai untuk penyelesaian pengurusan kekayaan patuh Syariah,” katanya.

p18-2_20160118

Beliau menyifatkan kajian syarikat penasihat kewangan Islam Edbiz Consulting sebagai tepat pada masanya berdasarkan bilangan individu berharta Islam mencari jenis pelaburan patuh Syariah yang meningkat dan pengurusan kekayaan Islam yang kini menjadi sempadan baharu bagi industri kewangan Islam.

“Permintaan pelabur dan kesedaran yang meningkat, dengan dinamik pasaran yang berubah mewujudkan permintaan yang lebih besar terhadap penyelesaian patuh Syariah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Edbiz Consulting Prof Humayon Dar berkata, dengan peningkatan jumlah individu dan keluarga Islam dalam senarai kekayaan global dan pertumbuhan aset kewangan Islam, ia bukan tidak realistik untuk menganggap terdapat peningkatan dalam kekayaan Islam di peringkat global.

Laporan itu, yang sebahagian daripada Laporan Pengurusan Kekayaan Islam 2016 yang dilancarkan baru-baru ini, dapat membantu peserta merapatkan jurang penawaran permintaan.

Ia bertujuan menilai pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pengurusan kekayaan Islam dalam usaha memahami dengan lebih baik permintaan terhadap perkhidmatan pengurusan kekayaan patuh Syariah dalam komuniti pelabur dan pelanggan mereka. Mengikut Menurut Thomson Reuters, 84 peratus daripada jumlah aset Islam bawah pengurusan terdapat di lapan negara, dengan Arab Saudi dan Malaysia menyumbang 69 peratus daripada jumlah keseluruhan pada 2014. – Bernama