Labuan IBFC sasarkan perniagaan Thai

Labuan IBFC sasarkan perniagaan Thai

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menyasarkan perniagaan-perniagaan Thai yang terdedah kepada risiko korporat serantau dalam siri jelajah ASEAN di Bangkok hari ini.

Labuan IBFC dalam satu kenyataan, berkata acara itu, “Labuan IBFC : Merapatkan Thailand dengan ASEAN”, menyasarkan korporat Thai yang mempunyai kepentingan perniagaan serantau.

Acara setengah hari di Bangkok itu, yang dihadiri oleh pemilik perniagaan tempatan, pemimpin korporat dan institusi insurans memberi fokus kepada faedah, kos dan kemudahan pengurusan risiko korporat melalui Labuan IBFC, termasuk melalui penubuhan syarikat insurans kaptif dalaman bagi mengurus dan mengurangkan risiko korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Labuan IBFC, Danial Mah Abdullah berkata, ASEAN merupakan salah satu kawasan yang paling pesat berkembang di dunia, menyebabkan ia menjadi tarikan kepada syarikat tempatan yang mempunyai rancangan pengembangan perniagaan serantau.

“Apabila syarikat mula mengembangkan tapak mereka ke luar, mereka perlu cara yang cekap dan sah bagi menguruskan pendedahan risiko mereka merentasi pelbagai bidang kuasa.

“Labuan IBFC mempunyai kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan ini, memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan pasaran Asia yang strategik, pengawasan pengawalseliaan yang kukuh, mudah dan sistem cukai yang kompetitif dan industri insurans yang maju,” kata Mah.

Labuan IBFC memiliki kesemua aspek dalam perniagaan dan aktiviti kewangan termasuk perbankan dan insurans kepada cukai antarabangsa, kepercayaan dan perundangan.

Ia melaporkan prestasi yang kukuh dalam semua sektor kewangan, termasuk perbankan, insurans, pajakan, pengurusan kekayaan dan kewangan Islam, dengan peningkatan sebanyak 12.3 peratus dalam pendaftaran syarikat baharu pada 2014 berbanding tahun sebelum ini.

Kira-kira 70 peratus daripada syarikat yang berdaftar di Labuan IBFC datang dari Asia, dengan Asia Tenggara mencatatkan 57 peratus, terutama Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Siri jelajah ASEAN oleh IBFC Labuan 2015 telah bermula di Kuala Lumpur pada 27 Mei, diikuti dengan Manila pada 2 Jun dan Jakarta pada 4 Ogos.

Ia akan bergerak ke Singapura dan Hong Kong. Acara ini menyasarkan pemilik perniagaan, bank-bank swasta, pengurus kekayaan, akauntan, penasihat cukai, pengurus amanah dan peguam.

ARTIKEL YANG SAMA