Labuan mesti transformasikan asas ekonomi

Labuan mesti transformasikan asas ekonomi

LABUAN, 25 April – Sektor minyak dan gas (O&G) mungkin tidak lagi menjadi pemacu utama pertumbuhan Labuan, dan atas alasan ini, asas ekonominya perlu ditransformasikan untuk turut melibatkan pelancongan dan pendidikan.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata sektor itu secara tradisinya memain peranan penting dalam ekonomi pulau ini.

“Ia bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan menerusi eksport, malah menyediakan perniagaan dan perkhidmatan bekalan sokongan kepada usahawan tempatan.

“Namun sektor O&G, sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Labuan, beransur-ansur merosot.

“Labuan banyak bergantung kepada sektor ini, dan sudah sampai masanya untuk memacu ekonomi kepada bidang yang lebih berdaya maju dan lebih baik seperti pelancongan dan pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMM) pada malam kelmarin.

Beliau berkata sektor O&G Labuan terjejas teruk oleh kejatuhan harga minyak dunia, dengan lebih 10,000 pekerja yang berkeluarga meninggalkan pulau itu akibat kehilangan pekerjaan.

“Pendaftaran di Sekolah Antarabangsa Labuan, sebahagian besarnya terdiri daripada anak pekerja dalam industri O&G, juga semakin berkurangan. Sekurang-kurangnya 60 pelajar berpindah ke sekolah lain, mungkin di negeri asal masing-masing,” kata Rozman.

Beliau menggesa ahli DPPM, terutama mereka yang sudah mempunyai aktiviti perniagaan, supaya terus berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

Keadaan ekonomi Labuan tidak akan sama walaupun sektor O&G kembali pulih, katanya.

Datuk Yusof Mohammad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Rozman Isli (dua dari kanan) yang merasmikan malam Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 DPMM Kelmarin. – Bernama
Datuk Yusof Mohammad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Rozman Isli (dua dari kanan) yang merasmikan malam Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 DPMM Kelmarin. – Bernama

“Fokus kini mestilah ke atas sektor pelancongan dan pendidikan yang mampu memberi kesan limpahan ekonomi, selain kuasa beli yang lebih besar kepada penduduk,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar semasa mengunjungi Labuan minggu lepas berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan memberi perhatian kepada pelan pembangunan untuk meningkatkan sektor pelancongan dengan menaik taraf dan memperbaiki kemudahan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Wahid turut melawat pulau Kuraman dan Rusukan Besar bagi melihat potensi dua taman marin di situ. Sementara itu, Rozman mengingatkan usahawan tempatan supaya mampu berdikari dari segi kewangan bagi memastikan aliran tunai yang stabil dan rekod prestasi yang baik.

“Apabila kita mempunyai keupayaan dan kedudukan kewangan yang kukuh, ia akan membolehkan kita untuk merebut peluang perniagaan tanpa kekangan,” katanya.

Beliau juga menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bekerja dengan kerajaan atau sektor swasta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA