Labuan perlukan bot ambulans bagi kecemasan

Labuan perlukan bot ambulans bagi kecemasan

LABUAN, 12 Okt – Labuan akan memiliki bot ambulans untuk pemindahan kecemasan pesakit yang memerlukan rawatan segera di hospital yang lebih lengkap di tanah besar Sabah.

Berikutan Hospital Nukleus Labuan hanya berstatus hospital pakar minor, kebanyakan pesakit berisiko tinggi di pulau bebas cukai ini terpaksa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, dengan penerbangan ihsan atau menerusi jalan laut untuk menerima rawatan.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali memberitahu Bernama, seramai 372 pesakit berisiko tinggi dihantar ke HQE dengan feri atau pemindahan ihsan sejak 2013.

“Pemindahan pesakit menggunakan feri mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke Kota Kinabalu. Terdapat juga penerbangan ihsan menggunakan helikopter di bawah Jabatan Kesihatan Sabah, selain operasi pemindahan melalui laut dengan kerjasama Jabatan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kami sedang menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan mengenai struktur kemudahan yang diperlukan bagi perkhidmatan bot ambulans serta peruntukan diperlukan.

“Bagi perkhidmatan ini, kami jangkakan ia boleh diadakan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata perkhidmatan bot ambulans yang lengkap dengan peralatan untuk pemindahan kecemasan sangat diperlukan kerana pulau itu hanya boleh dilalui dengan jalan laut dan udara.

Katanya, Jabatan Marin Labuan yang mempunyai kapal yang beroperasi dengan baik akan bertanggungjawab untuk perkhidmatan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA